seg_vivi

KUALA LUMPUR – Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bukan sahaja manusia dihimpit dengan masalah bekalan makanan bahkan haiwan liar seperti monyet turut menerima kesannya.

Apa tidaknya, tanpa kehadiran manusia yang berhenti di bahu jalan selepas berjalan jauh khususnya dari Pantai Timur melalui Plaza Tol Gombak, sudah tentu monyet juga tidak lagi mendapat makanan.

Ketika MalaysiaGazette membuat tinjauan di Plaza Tol Gombak hari ini, kami terserempak dengan sekumpulan monyet di bahu jalan yang sedang mengais sampah untuk mencari makanan.

Sebaik sahaja kami meletakkan kenderaan di bahu jalan, sekumpulan monyet cuba mendekati kami dengan harapan mendapat makanan.

Mujur kami membawa sedikit bekalan makanan iaitu roti gardenia berperisa jagung.

Monyet kelaparan
Sekumpulan monyet kelaparan di bahu jalan berhampiran Plaza Tol Gombak

Kesian melihat ia kelaparan, kami terus memberikan roti itu kepada dua ekor monyet dewasa yang memanjat pagar di tepi lebuh raya itu.

Oleh kerana lebih banyak monyet mula mendekati kereta, kami terus beredar dan kembali ke pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Jika haiwan liar kelaparan, pastinya haiwan peliharaan juga sukar mendapat makanan jika tempoh PKP berterusan susulan banyak kedai haiwan ditutup. – MalaysiaGazette