Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad merayu rakyat Malaysia mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan wabak virus Covid-19.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, peraturan tersebut sangat baik bagi mereka, terutama dapat menggelakkan rakyat daripada dijangkiti virus berkenaan daripada orang lain.

“Saya nak minta, tolonglah ikut peraturan kerana peraturan ini baik bagi kamu. Kalau kamu tidak ikut peraturan mungkin kamu jadi mangsa, akan dapat jangkitan daripada orang lain.

“Jika kamu sudah dapat penyakit ini, kamu akan membawa penyakit ini kepada keluarga kamu dan mereka akan bernasib buruk kerana tingkah laku kamu.

“Oleh itu, jagalah, ikutlah peraturan supaya kamu dapat selamatkan diri kamu, keluarga kamu dan negara ini,” katanya dalam temubual secara lintas langsung menerusi Instagram Neelofa hari ini.

Dalam temubual itu, Neelofa yang merupakan artis dan ahli perniagaan turut meminta pandangan serta nasihat Dr. Mahathir untuk terus menjalankan perniagaan dalam keadaan negara melaksanakan PKP.

Kata Dr. Mahathir, hampir semua perniagaan boleh dilakukan di rumah memandangkan zaman sekarang sistem komunikasinya begitu baik sehingga boleh mengurus jual beli secara atas talian.

“Kita tak payah bergerak, tak perlu keluar rumah. Kalau kita keluarkan barang jahitan, makanan atau buat sesuatu barang, maka ini boleh dilakukan di rumah, jual melalui online, ada orang yang akan mengutip dan sampaikan barang itu kepada pembeli.

“Banyak benda yang kita boleh buat di rumah, walaupun kurang selesa, tetapi di masa ini tidak dapat tidak kita perlu tukar cara kita bekerja dan saya yakin kalau kita buat demikian, tanpa keluar dari rumah, kita masih boleh jalankan sekurang-kurangnya sebahagian daripada perniagaan kita,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui dalam keadaan begini biasanya pendapatan akan berkurangan, tetapi mereka juga perlu mengurangkan perbelanjaan.

Katanya, ada perkara yang tidak begitu penting boleh ditangguhkan atau diketepikan dengan memberikan tumpuan kepada hal penting seperti makanan dan sebagainya atau mencari perniagaan secara baru.

“Dengan itu kita buat cara hidup yang baru. Cara hidup di rumah seolah rumah itu menjadi kedai kita dan pejabat kita dan kita sekarang ini boleh berkomunikasi dengan baik, tidak seperti dulu.

“Sekarang mereka boleh berbincang dan berbahas melalui dalam talian. Jadi, kerana komunikasi sekarang ini begitu baik, banyak kerja dahulu mungkin tak dapat lakukan, kalau ada masalah yang besar yang perlu dibincang boleh bincang secara dengan orang berkenaan,” katanya.

Dr. Mahathir turut berkongsi nasihat mengenai tempoh kuarantin yang telah berlarutan sehingga tiga minggu lagi dengan menyatakan, selain cara itu, orang ramai juga perlu mengamalkan kebersihan diri seperti sentiasa membasuh tangan dan mandi.

Selain itu, kata beliau, mereka juga perlu mengaktifkan diri sepanjang berada di rumah sebagaimana diamalkannya dengan bersenam.

“Saya ada basikal dan bersenam setiap hari. Saya buat sikit supaya kita terus gunakan otot badan kita kerana salah satu naluri manusia, kalau satu-satu anggota itu tidak digunakan, ia akan lemah.

“Bila kita bangun, kita jadi tidak kuat. Aktif bukan saja gerakkan badan, tapi akal fikiran, kita baca, tulis dan bahas. Ini jadikan tubuh badan kita lebih sihat, ini yang saya lakukan,” katanya.

Menurut Dr. Mahathir, kesihatan akan lebih terjamin jika mereka aktif dan kalau letih lalu tidur lama-lama akan mengurangkan keaktifan otot. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sepatutnya di malaysia covid 19 di tukar nama ke covid tun20 ,( takkan nk bagi tinggal kat kandang lembu ) ,( kita ada pengalaman hadapi penyakit berjangkit ) ,( yg datang tu x bawa penyakit )

Comments are closed.