Antara singa yang terdapat di Zoo London.

LONDON – Buat kali pertama sejak Perang Dunia Kedua, London mengenakan sekatan ke atas semua penduduknya disebabkan pandemik koronavirus.

Bagaimanapun, 18,000 ekor binatang di Zoo London perlu meneruskan kehidupan. Ia tidak seperti muzium atau galeri yang boleh ditutup pintunya.

Haiwan-haiwan, sama ada binatang besar seperti singa, gorila, zebra dan zirafah serta sebagainya perlu makan.

Zoo adalah perniagaan yang mahal kerana memerlukan burun intensif dan tanpa pendapatan harian daripada penjualan tiket kira-kira AS$33 juta tahun lalu, sekatan perjalanan yang dikenakan di London ibarat mimpi ngeri.

Berikutan itu, Zoo London merayu meminta sumbangan.

”Biasanya kami bergantung kepada sokongan awam, tetapi apabila tiada pelawat bermakna tidak ada pendapatan.

”Kami sedang berusaha mencari pelbagai cara supaya orang ramai menyokong dan menderma kepada kami,” kata Ketua Pegawai Operasi Zoo London, Kathryn England sambil memaklumkan kesihatan dan kebajikan haiwan-haiwan masih menjadi keutamaan.

England mendakwa, haiwan-haiwan di dalam zoo berkenaan makan banyak, oleh itu pihak pengurusan perlu memastikan bekalan berterusan.

”Sama ada buah-buahan, sayur-sayuran atau daging, kami perlu memastikan bekalan berterusan,” ujarnya.

Menurutnya, buat masa ini ada kakitangan yang bermalam di zoo untuk memastikan kebajikan haiwan terjaga dan pekerja-pekerja terlibat dibekalkan dengan pakaian perlindungan yang mencukupi.

Kata beliau, tanpa kunjungan orang ramai, ia sebenarnya satu lagi cabaran kepada zoo berkenaan.

Pekerja zoo bukan sahaja memberi makan tetapi membawa haiwan-haiwan keluar, selain menyediakan pengayaan yang diperlukan kerana persekitaran sekarang sangat berbeza apabila tiada pelawat.

“Harimau nampaknya tidak diganggu sama sekali, seperti Bhanu singa besar kita. Haiwan-haiwan ini hanya bersantai di bawah matahari. Tetapi kambing, babi dan penguin sedikit keliru,” ujarnya.

England yakin penutupan zoo itu tidak akan membahayakan mana-mana haiwan, cuma kehilangan pendapatan adalah salah satu cabaran terbesar yang pernah dihadapi oleh zoo tersebut. – MalaysiaGazette