MIT

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerima sebanyak 9,290 permohonan daripada syarikat-syarikat pelbagai sektor pembuatan untuk meneruskan operasi sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehingga jam 12 tengah hari ini, daripada jumlah tersebut, 2,732 syarikat atau 29.41 peratus telah dibenarkan untuk beroperasi, manakala 2,794 permohonan (30.08 peratus) telah ditolak.

Manakala 1,885 (20.29 peratus) adalah di dalam senarai Keep In View (KIV) dan selebihnya (1,879, 20.22 peratus) masih di
dalam proses saringan.

MITI menjelaskan kebenaran untuk beroperasi perlu diberikan kepada syarikat-syarikat tertentu bagi memastikan bekalan produk penting dan kritikal akan mencukupi untuk kegunaan orang ramai sepanjang tempoh PKP.

Kebenaran yang diberikan ini juga adalah sah sehingga 14 April 2020.

Antara sektor-sektor pembuatan dan pengeluaran barang-barang keperluan umum yang dikategorikan penting dan kritikal adalah seperti berikut :
i) Makanan dan minuman;
ii) Produk barangan rumah (termasuk hand sanitiser);
iii) Peralatan perlindungan peribadi (termasuk topeng muka);
iv) Farmaseutikal;
v) Bahan pembungkusan dan percetakan, khususnya untuk industri pemakanan dan minuman;
vi) Peranti perubatan, dan pembedahan; dan
vii) Minyak dan gas.

MITI berkata, antara punca-punca permohonan-permohonan syarikat ditolak kerana kebanyakan tidak mematuhi
syarat-syarat yang ditetapkan.

Antaranya syarikat berkenaan bukan di dalam sektor yang penting dan kritikal, syarikat mengemukakan maklumat yang tidak lengkap atau tidak tepat, dan syarikat tidak mengemukakan pengurangan jumlah tenaga kerja ke tahap minima ataupun sekurang-kurangnya 50 peratus seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Sehubungan itu, MITI mengingatkan syarikat-syarikat yang telah mendapat kelulusan untuk mengikut syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan, antaranya memastikan hanya jumlah pekerja dan senarai pekerja yang diluluskan kementerian sahaja datang bekerja; menyediakan saringan suhu badan setiap hari, menyediakan sanitasi tangan dan topeng muka untuk pekerja, memastikan premis disanitasi tiga kali sehari.

Selain itu, mengamalkan penjarakkan sosial dan jika ada pekerja yang dijangkiti Covid-19 majikan perlu segera memaklumkan Pejabat Kesihatan atau Hospital Kerajaan yang terdekat.

Tambahnya, senarai nama syarikat-syarikat yang diberi kelulusan telah pun diberikan MITI kepada pihak Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri untuk pemeriksaan dan pemantauan.

Kegagalan syarikat mengikut syarat-syarat yang ditetapkan boleh menyebabkan kelulusan mereka dibatalkan dan ditarik balik.- MalaysiaGazette