Che Abdullah Mat Nawi

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan tidak menerima sebarang laporan berhubung kekurangan bekalan makanan ternakan.

Sebaliknya, kata Timbalan Menterinya, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, bekalan makanan ternakan masih boleh didapati di pasaran.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar memaklumkan kepada kementerian, tiada laporan mengenai kekurangan bekalan makanan ternakan.

“Malah, bekalan makanan ternakan masih boleh didapati di pasaran dan tiada sekatan dalam aktiviti rantaian bekalan dan pemasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.

Che Abdullah berkata, aktiviti pertanian masih dibenarkan untuk terus beroperasi bagi memastikan bekalan makanan mencukupi bagi kegunaan rakyat Malaysia.

Kata beliau, perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang menyokong rantai bekalan dan pemasaran makanan juga dibenarkan beroperasi seperti sedia kala.

“Manakala premis atau kilang rantaian makanan yang ditakrifkan sebagai kritikal, dibenarkan operasi dengan penugasan pekerja ditahap minimum dan pihak industri pula perlu bertanggungjawab memastikan langkah-langkah saringan dan pencegahan wabak Covid-19 wajib dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Pemantauan Krisis Covid-19 di talian 03-8870 1307/ 1644 atau emel kepada [email protected]. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast