Watak Makcik Kiah digambarkan Perdana Menteri, seorang wanita yang menjual goreng pisang dan tinggal di PPR Desa Tun Razak di sini serta mempunyai suami seorang pesara kerajaan yang kini membawa Grab.-Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR- Masih mengekalkan gaya bahasa bersahaja dan mudah difahami, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadikan watak Makcik Kiah memudahkan beliau menerangkan manfaat yang bakal diterima rakyat menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) hari ini.

Watak Makcik Kiah digambarkan Perdana Menteri, seorang wanita yang menjual goreng pisang dan tinggal di PPR Desa Tun Razak di sini serta mempunyai suami seorang pesara kerajaan yang kini membawa Grab.

Anaknya pula adalah seorang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dan pendapatan isi rumah mereka adalah RM4,000.

“Keluarga Makcik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1, 600, baki BSH sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500 dan bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500.

“Kalau suami Makcik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM 200 sebulan sehingga wabak berakhir. Keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Makcik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM3,400.

“Kalau Makcik Kiah ada buat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan goreng pisang dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Makcik Kiah akan dapat penjimatan sebanyak RM600.

“Keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464. Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Makcik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM7,864.

“Jadi Makcik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat,” katanya ketika mengumumkan Prihatin yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen nasional hari ini.

Muhyiddin sekali lagi menegaskan, Pakej Prihatin adalah satu pakej rangsangan yang memastikan tiada golongan terpinggir dan dibiarkan terjejas ketika wabak Covid-19 melanda negara.

Pakej bernilai RM250 bilion itu meliputi pelbagai jenis inisiatif yang mana kebanyakannya adalah bersifat sekali bayar (one-off ) untuk memberikan lebih tunai kepada rakyat supaya boleh berbelanja meskipun pendapatan terjejas akibat wabak tersebut serta penguatkuasaan Langkah Kawalan Pergerakan.-MalaysiaGazette