Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Prihatian Nasional pada 27 Mac 2020 untuk rakuat Malaysia yang menghadapi penularan Covid-19.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi meningkatkan keupayaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pembelian peralatan dan perkhidmatan bagi memerangi Covid-19.

Ia termasuk kepakaran perubatan daripada perkhidmatan kesihatan wanita.

Peruntukan itu terkandung dalam  Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN berjumlah RM250 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Daripada jumlah  ini, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, kerajaan akan meningkatkan elaun khas kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak inidari daripada RM400 yang diumumkan sebelum ini kepada RM600 sebulan mulai 1 April ini.

Elaun ini akan diterima sehingga wabak Covid-19 ini berakhir.

Kerajaan juga bersetuju memanjangkan elaun khas sebanyak RM200 sebulan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak Covid-19 berakhir yang akan dimanfaatkan seramai 169,000 kakitangan tambahan.

Bagi menyokong usaha KKM untuk menjalankan lebih banyak ujian Covid-19, pihak industri insurans dan takaful akan mewujudkan dana khas berjumlah RM8 juta untuk menanggung kos ujian penyaringan yang bernilai sehingga RM300 bagi setiap pemegang polisi dan sijil takaful perubatan yang diarahkan oleh KKM untuk menjalani ujian di hospital swasta atau makmal swasta.

Di samping itu, syarikat insurans dan takaful keluarga akan menawarkan penangguhan pembayaran premium atau sumbangan untuk tiga bulan bagi pencarum yang sumber pendapatan mereka terjejas akibat wabak ini. – MalaysiaGazette