Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Umat Islam di seluruh negara hari ini diminta mengadakan Solat Hajat serentak selepas solat Zohor di kediaman masing-masing untuk kesejahteraan rakyat dalam menghadapi situasi getir penularan Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, solat Hajat itu ditetapkan hari ini, selepas beliau menerima titah dari Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Semalam, baginda telah menitahkan kepada saya agar memberikan cadangan untuk melaksanakan solat Hajat serentak di seluruh negara untuk kesejahteraan rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi terkini.

“Berdasarkan taakulan saya dan dengan ilham daripada-Nya, tarikh dan waktu sesuai bagi cadangan pelaksanaan Solat Hajat serentak di seluruh negara adalah pada hari Jumaat hari ini selepas solat Zohor di rumah dan tempat masing-masing,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau menyeru kepada seluruh umat Islam di negara ini untuk menyahut titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong dengan melaksanakan solat Hajat serentak di seluruh negara tengah hari ini.

“Kita solat Zohor di rumah dan tempat masing-masing, selepas itu sambung dengan solat Hajat dan penuhi hari Jumaat ini dengan zikrullah, taubat dan munajat kepada-Nya. Kepada Allah jua kita berserah,” katanya. – MalaysiaGazette