Info Air Selangor menyatakan berlaku pencemaran minyak di LRA SSP 1 hingga SSP 3.

KUALA LUMPUR – Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) terpaksa menghenti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP 1), SSP 2 dan SSP 3 pagi ini.

Jurucakapnya berkata, pihaknya menghenti tugas semua LRA itu akibat pencemaran minyak yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor pada jam 9.30 pagi ini.

Katanya, pihaknya telah melaporkan insiden pencemaran itu kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan semua tindakan sedang diambil.

“Air Selangor dan LUAS mengambil langkah menghenti tugas itu bagi meminimumkan impak kepada pengguna berikutan insiden itu.

“Pada masa ini, bekalan air masih terus disalurkan kepada pengguna dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerui semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawangnya www.airselangor.com,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Jurucakap itu berkata, dalam tempoh berkenaan, pengguna dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemat.

Pengguna juga, katanya, digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air. – MalaysiaGazette