Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Sebanyak 159 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini, manakala tiga kematian dilaporkan dua daripadanya telah diumumkan di laman Kementerian Kesihatan malam tadi.

Dengan perkembangan terbaharu itu, jumlah keseluruhan kes positif virus pandemik  itu setakat ini adalah sebanyak 2,320 kes, dan 27 kematian sehingga pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 73 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya,  61 kes terbaharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan 320 kes iaitu dengan kadar discaj 13.8 peratus.

Menurut Dr Noor Hisham, kes kematian ke-27 adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 61 tahun merupakan kes-2162 mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Mangsa dirawat di Hospital Tangkak, Johor pada 24 Mac lalu sebelum dipindah ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar sehari selepas itu.

Dalam pada itu, mengikut pecahan negeri Selangor masih mendahului dengan 33 kes baharu positif Covid-19 dengan kumulatif berjumlah 579 kes setakat hari ini.

Johor pula merekodkan 26 kes positif baharu dengan jumlah kumulatif 285 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula mencatatkan 7 kes positif hari ini dan kumulatif kes adalah berjumlah 344 kes setakat hari ini.

Perlis masih sifar kes baharu Covid-19 dan kekal dengan 10 kes kumuliatif setakat ini selain Putrajaya yang juga tidak merekodkan sebarang kes baharu dan kekal dengan kumulatif 20 kes. – MalaysiaGazette