Mazli Noor

KUALA LUMPUR – Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, amat komprehensif.

Justeru, Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan Pas Pusat menyambut baik pengumuman itu dan mengucapkan syabas atas tindakan yang dianggap sebagai tepat.

Timbalan Pengerusi 2 Lajnah, Mazli Noor berkata, pihaknya berpandangan Pakej Prihatin itu mengambil kira semua elemen penting dalam kitaran ekonomi yang sudah pasti mampu untuk terus menyokong agregat penawaran dan permintaan, seterusnya mengekalkan keseimbangan.

Ini nyata, katanya, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri iaitu hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion bagi memperkukuh ekonomi negara.

“Pakej komprehensif ini menepati komen kami 3 Mac lalu, iaitu bagi memastikan kesan maksimum bantuan ditawarkan melalui pakej rangsangan harus merangkumi semua sektor, bukan terhad kepada pelancongan sahaja.

“Ini bagi memastikan wujud kesan rantaian dalam sistem ekonomi yang seterusnya menghasilkan kesan gandaan yang akan menyokong pertumbuhan.

“Langkah positif kerajaan mengadakan bantuan sokongan bagi menyokong aktiviti ekonomi juga dilihat amat tepat,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.

Menurut Mazli, bantuan sokongan itu melibatkan bentuk kerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi menyediakan internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta.

Selain itu, katanya, tambahan RM400 juta akan dilaburkan untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan.

“Ini sudah pasti akan terus memperkasa ekonomi digital sebagai enjin pertumbuhan baharu dalam suasana krisis sekarang.

“Faktor lain yang juga penting ialah langkah pengoptimuman kos yang perlu dilakukan dengan komprehensif di semua peringkat, sama ada di pihak penawaran dan juga permintaan terutama dalam paras minyak mentah yang merudum sekarang.

“Semua pemain industri dan pengguna harus berjimat cermat untuk mengelakkan pembaziran sumber,” katanya.

Jelas beliau, Ini termasuk menyemak semula struktur kos masing-masing bagi memastikan harga boleh diturunkan dengan penurunan harga minyak, yang seterusnya menyokong pelaksanaan Pakej Prihatin.

Mazli yakin dalam suasana rakyat dan negara terkesan dengan krisis Covid-19, seluruh lapisan jentera kerajaan dan juga rakyat akan berganding bahu serta bekerja keras untuk memastikan Pakej Prihatin berjaya.

“Semasa mengulas pakej terdahulu, kami menyatakan keyakinan sekiranya pelaksanaan dapat dilakukan dengan berkesan, sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.8 peratus untuk tahun 2020 masih boleh dicapai.

“Justeru, kami masih mengekalkan sasaran tersebut buat masa ini. Namun begitu kami akan terus meneliti angka semasa ekonomi terutama bagi suku pertama 2020 nanti sebagai asas sebelum mengeluarkan sasaran baharu,” katanya. – MalaysiaGazette