Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hampir 4,000 penduduk di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor diarah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa tengah malam ini sehingga 13 April.

Ini berikutan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An- Nabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan kedua selepas Simpang Renggam itu dilaksanakan atas nasihat Menteri Kesihatan.

Katanya, PKPD itu melibatkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 rumah termasuk tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.

“Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut. Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini,

Dengan pelaksanaan perintah ini:

  • Semua penduduk dan pelawat yang telah berada di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh perintah
  • Bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah
  • Semua aktiviti perniagaan dihentikan.
  • Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan
  • Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan
  • Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD
  • Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.

Menurut Ismail Sabri, bagi pelaksanaan perintah ini, semua penduduk diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari Kementerian Kesihatan serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-89254809 / 03-89114200. – MalaysiaGazette