Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim menasihatkan pemandu dan penumpang supaya pulang ketika meninjau Op Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang masuk hari ke- 11 di Persiaran Utara arah Hospital Serdang, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 28 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Polis akan menambah kawasan sekatan jalan raya berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha untuk memerangi penularan virus Covid-19 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, empat kawasan baharu yang akan dilibatkan dengan sekatan jalan masing-masing dua sekatan di daerah Brickfields dan Dang Wangi.

Katanya, tindakan menambah lokasi sekatan bertujuan memastikan perintah PKP dilaksanakan sepenuhnya.

“Keseluruhannya kita adakan 52 sekatan jalan raya di seluruh Kuala Lumpur dan saya rasa ia perlu ditambah jadi empat lagi iaitu dua di Brickfiels dan dua lagi di Dang Wangi.

“Polis tak mahu kelibat orang bergera ke ke sana sini sebaliknya duduk di rumah .Polis tidak kisah dia daripada parti mana, organisasi apa atau NGO (Pertubuhan Bukan Kerajaan) mana pun.

“Dia perlu duduk dalam rumah dia sebab ini masa untuk menghadkan pergerakan dan ia arahan kerajaan yang perlu dipatuhi. Harap mereka faham arahan ini dan duduk di rumah,” katanya kepada pemberita selepas memantau Op Covid-19 di sini malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Datuk Seri Mazlan Lazim meninjau Op Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang masuk hari ke- 11 di Persiaran Utara arah Hospital Serdang, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 28 MAC 2020

Tambah beliau secara keseluruhannya sehingga 8 pagi hari ini, seramai 43 orang telah ditahan sepanjang penguatkuasaan PKP kerana melanggar perintah dan 26 merupakan warga tempatan.

Manakala, 19 daripadanya merupakan warga asing yang tidak mematuhi perintah yang dikenakan kerajaan.

Katanya sekatan Covid-19 diadakan berpandukan Akta 342  di bawah Kementerian Kesihatan untuk memutuskan rantain Covid-19 dan jika tidak ia akan terus berjangkit dan menjadi pandemik besar.

“Daripada 19 warga asing 13 sudah dituduh di mahkamah dan sembilan orang telah menerima hukuman tetapi 4 lagi mengaku tidak bersalah dan kesemua mereka berusia antara 20 hingga 60 tahun.

“Justeru setakat ini kadar pematuhan perintah oleh masyarakat umum ialah lebih 95 peratus sahaja,” ujarnya lagi.

Menurur beliau, kebanyakan mereka memberi bermacam alasan untuk keluar rumah seperti keluar beli makanan, mendapat rawatan dan keperluan penting sahaja.

Katanya polis terpaksa melepaskan orang yang berurusan untuk 22 perkara yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sambil menasihati bukan ‘essential’ duduk diam di rumah.

“Kita tak mahu orang berada di atas jalan tanpa alasan betul dan memastikan penjarakan sosial yang standard bagi mengelak ia merebak.

“Setakat ini tiada jalan yang ditutup kerana kita masih tahap PKP sahaja bukan PKP Diperketatkan. Jangan salah faham, kalau salah nanti saya akan cari,” tegasnya.-MalaysiaGazette