Antara kawasan yang bermula dinyahkuman adalah di Pasar Jalan Othman, Petaling jaya dan Sungai Ramal, Kajang,

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menjalankan proses disinfeksi di dua kawasan ekoran penularan Covid-19 pagi esok.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kedua-dua kawasan itu adalah di Pasar Jalan Othman di Petaling Jaya dan kawasan Sungai Ramal, Kajang.

“KPKT akan bekerjasama dengan bukan sahaja pihak PBT, tapi juga dengan bomba dan penyelamat, SW Corp, dan ATM.

“Antara kawasan yang bermula dinyahkuman adalah di Pasar Jalan Othman, Petaling jaya dan Sungai Ramal, Kajang,” katanya selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Wilayah Persektuuan telah melakukan proses sama di sekitar Seri Petaling iaitu di kawasan Masjid Seri Petaling yang merupakan kluster penyebaran Covid-19.

Jelas Ismail lagi, proses disinfeksi akan diperluaskan ke seluruh negara tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bera itu berkata sejumlah lima juta penutup mulut dan hidung akan tiba di negara ini tidak lama lagi.

Bagaimana, jumlah itu akan diedarkan terlebih dahulu kepada petugas hadapan (frontliners) di hospital, polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melakukan sekatan jalanraya di seluruh negara.

“Topeng itu akan diberikan percuma dan kita akan berikan kepada Jawatakuasa Bencana Negara untuk diedarkan di peringkat daerah-daerah.

“Kita difahamkan dalam beberapa hari lagi, lima juta topeng muka akan tiba dan peringkat awalnya kita akan edarkan kepada fronliner dahulu seperti kakitangan hospital, polis, ATM dan sebagainya yang bertugas

“Selepas itu penghantaran kedua akan diedarkan kepada orang ramai,” katanya lagi.

Rabu lalu, kerajaan berkata akan mengagihkan penutup mulut dan hidung secara percuma kepada 8.63 juta isi rumah di seluruh negara secara berperingkat dalam masa terdekat. -MalaysiaGazette