Aminuddin Harun

KUALA LUMPUR – Semua petugas yang terlibat dengan pengedaran bantuan kepada masyarakat di Negeri Sembilan dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, mereka semua bertanggungjawab memastikan bekalan disampaikan itu selamat dan bebas dari virus Covid-19.

“Saya ingin berpesan kepada semua ADUN, Penyelaras DUN, MPPK, wakil NGO serta petugas yang mengedarkan bantuan kepada masyarakat agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kita sebenarnya bertanggungjawab untuk memastikan bekalan yang kita sampaikan kepada golongan sasar itu selamat dan bebas dari virus Covid-19,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.

Kata beliau, jika semua pihak terbabit mengamalkan langkah ditetapkan Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa, risiko untuk menyebarkan wabak Covid-19 menjadi berkurangan.

Menurut beliau, antara langkah perlu dipatuhi ialah memakai topeng muka kategori tiga lapisan atau N95, memakai topeng muka dengan cara yang betul, jangan sentuh muka dengan tangan, pastikan tiada kontak fizikal dengan penerima dan berdiri pada jarak dua meter sebelum meminta penerima mengambil bantuan.

Mereka juga perlu sentiasa membawa cecair pembasmi kuman yang mengandungi alkohol, membasuh tangan dengan sabun selepas berkunjung ke setiap rumah, jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter dan tidak mengambil bahagian jika kurang sihat.

Beliau turut menyatakan situasi Covid-19 di Negeri Sembilan sehingga jam 5 petang semalam menyaksikan sedikit peningkatan iaitu sekitar 10 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast