Dr. Asmah (dua dari kiri) menyampaikan bantuan barang keperluan asas kepada anggota polis IPD Kajang.

KUALA LUMPUR – Kasihanilah anggota polis, tentera dan pasukan barisan hadapan yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tugasan mereka terdedah dengan risiko penularan virus Covid-19 sejak dua hampir minggu lalu semata-mata untuk memastikan rakyat mematuhi arahan PKP duduk di rumah.

Menurut Ketua Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr. Asmah Razalli, sukar untuk digambarkan betapa besarnya pengorbanan pasukan keselamatan dan petugas barisan hadapan ini dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Namun, katanya, dengan kedegilan segelintir orang ramai, masih juga berada di luar rumah tanpa tujuan, menyebabkan tugasan dan tanggungjawab pihak berkenaan makin bertambah.

Justeru, kata beliau, sayap parti Putra itu terpanggil untuk menunaikan tanggungjawab sosial dengan menghulurkan bantuan barang keperluan asas bagi meringankan beban mereka.

“Bantuan ini dihulurkan dengan kebenaran pihak berkuasa dan sebagai tanda penghargaan kita terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan yang bekerja siang malam demi negara.

“Alhamdulillah, bantuan ini kepada anggota polis dari Balai Kajang semalam dapat diberikan kepada pegawai bertugas sebelum Menteri Kanan (Keselamatan) mengeluarkan arahan setiap sumbangan perlul disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri masing masing,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Barisan hadapan Wirawati Putra diketuai Dr. Asmah Razalli di Pusat Jagaan dan Kebajikan Warga Emas Terlantar, Kajang selepas menyampaikan bantuan barang keperluan asas.

Selepas itu, Pergerakan Wirawati berkunjung ke Pusat Jagaan dan Kebajikan Warga Emas Terlantar di Kajang untuk menyampaikan bantuan keperluan asas.

Kata beliau, rumah kebajikan itu yang menempatkan lebih 60 penghuni sememangnya memerlukan bantuan berkenaan kerana mereka sukar untuk mendapatkan barangan itu disebabkan kekangan kewangan.

“Kita juga berharap penghuni di sini turut mendapat bantuan kerajaan melalui Pakej Prihatin tanpa banyak karenah birokrasi.

“Sebenarnya kita bersyukur kerana diberi peluang bersama rakyat ketika waktu ekonomi yang sukar ini dan berharap segala saluran dana serta peruntukan Pakej Prihatin dapat boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat.

“Kaedah saluran dan permohonan pakej ini juga patut dilakukan melalui kaedah lain, selain Bantuan Sara Hidup (BSH) kerana masih ramai golongan yang layak menerima bantuan dari M40 tidak mendaftar,” katanya.

Dr. Asmah memanjat doa agar tidak ada golongan sasar yang terputus bekalan makanan mahupun hidup dalam kesusahan tanpa diketahui oleh pemimpin di kawasan masing masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast