BUKAN main kecoh lagi polemik artis yang meminta kerajaan membantu mereka di ‘musim-musim’ Covid-19 ni. Ramai yang membidas kerana beranggapan artis yang kaya sepatutnya membantu golongan yang susah dan bukan hanya pandai mengharap dan merayu bantuan daripada kerajaan.

Untuk berlaku adil, mungkin artis yang bersuara itu bercakap bagi pihak rakan artis mereka yang susah, bukan untuk dirinya sendiri. Betullah tu, yang senang tu senanglah juga tetapi tak kurang juga artis yang hidup mereka daif dan melarat.

Sebenarnya kalau diperhatikan betul-betul, kerajaan tidaklah mengabaikan para penggiat seni berikutan masalah penyebaran virus Covid-19 ini.

Bantuan Prihatin Nasional yang diumumkan tempoh hari sebenarnya turut terpakai kepada penggiat seni termasuk pelakon, penyanyi, pengacara atau warga produksi iaitu dengan pemberian tunai ‘one-off’.

Warga seni yang berpendapatan isi rumah bawah RM4,000 berhak mendapat bantuan RM1,600 dan RM1,000 untuk isi rumah berpendapatan bawah RM8,000 serta RM800 kepada individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah.

Penggiat seni yang berpendapatan RM4,000 ke bawah dan masih bujang juga layak untuk bantuan one-off sebanyak RM500.

Itu belum dicampur Bank Negara yang telah pun mengumumkan motorium atau pengecualian bayaran ansuran kereta, rumah dan sebagainya selama enam bulan untuk meringankan beban rakyat termasuklah anak seni.

Bercakap tentang kisah anak seni ini, semasa saya bertugas di Meja Jenayah Utusan Malaysia dulu, saya pernah diarahkan untuk menemubual pelawak Datuk Yahya Sulong dalam sebuah kolum yang dikenali sebagai Gaya Polis.

Pada mulanya saya agak hairan dengan permintaan editor ketika itu, kenapa pula saya perlu menemubual Yahya atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ya untuk ruangan tersebut. Apa kaitannya pelawak itu dengan polis?

Ketika itu saya beranggapan mungkin Pak Ya anak bekas polis, jadi bolehlah saya minta dia berkongsi pengalaman membesar dalam berek ke sebagai contoh.

Saya masih ingat lagi, waktu ketika itu dah hampir pukul 9 malam. Pak Ya memberitahu saya agar pergi mencarinya di sebuah kedai makan berhampiran flat Seri Perak di Bandar Baru Sentul. Sejujurnya saya tidak pernah melihat Pak Ya secara ‘live’.

Saya hanya pernah melihatnya dalam kaca televisyen dan dalam filem. Mana mungkin saya lupa keletah lucunya dalam filem-filem seperti Toyol, Da Di Du, Senario The Movie (sekadar memberi beberapa contoh). Lihat dia muncul sahaja pun sudah boleh membuatkan kita ketawa, apatah lagi ketika dia melontarkan dialog-dialongnya!

Ketika tiba waktu yang dijanjikan, tak nampak kelibat Pak Ya di kedai itu. Puas saya berlegar-legar mencarinya. Rupa-rupanya dia sudah duduk di satu sudut, hanya saya yang tidak menyedari kehadirannya. Macam manalah saya nak perasan, punyalah ‘smart’ Pak Ya masa tu, siap baju batik dan kasut sepatu putih berkilat, mengalahkan YB!

”Sememangnya saya memang macam ni, dah lama terdidik dalam polis, walaupun dah malam, saya dah biasa pakai baju macam pergi mesyuarat,” katanya tersengih.

Rupa-rupanya Pak Ya ni dulu bekas anggota polis, bukan sebulan dua, berpuluh tahun rupanya! Pak Ya bersara dengan pangkat Sarjan.

Terus terang, bersembang dengan Pak Ya memang tak kering gusi. Seperti mana dia buat lawak dalam TV, begitulah dia bila berbual sampaikan saya terkekeh-kekeh sepanjang dekat sejam kami berborak.

Namun perbualan kami sering terganggu kerana Pak Ya sering batuk-batuk. Walaupun seakan cuba menyembunyikan sesuatu, wajahnya jelas nampak pucat. Memang uzur dia ketika itu.

Menariknya, Pak Ya langsung tak sebut mengenai kepayahan yang ditanggungnya walaupun sebagai wartawan, saya tunggu saja seandainya dia hendak merayu kepada kerajaan atau mana-mana pihak agar membantu dia dan isterinya seorang penghidap kanser bernama Alisah.

Bukan apa, kalau dia sebut tentang itu, bolehlah juga saya selitkan ‘rayuannya’ dalam artikel saya.

Ternyata istilah merayu dan merintih tidak pernah ada dalam kamus Pak Ya.

Untuk makluman, mereka berdua hanya bergantung kepada wang Baitulmal sebanyak RM400 sebulan dan wang pencen bekas isteri Yahya. Yahya yang berkahwin dengan Alisah pada tahun 1978 tidak dikurniakan cahayamata namun Yahya ada 11 orang anak dengan isteri terdahulu.

Alisah pernah meminta agar Pak Ya menolak saja kurniaan pingat yang membawa gelaran Datuk kerana merasakan gelaran itu tidak sesuai dengan kehidupan mereka berdua namun Yahya berkeras untuk menerimanya.  Ini kerana Pak Ya beranggapan kurniaan darjah kebesaran itu disebabkan jasanya dalam pasukan keselamatan, bukan di atas pencapaiannya sebagai artis.

Selang tidak beberapa lama selepas saya menemubual Pak Ya, dunia hiburan kecoh kerana dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang setelah terjatuh daripada bilik air.

Cerita sedih Yahya tidak terhenti di situ. Kemudian timbul pula kisah bayaran sewa rumah flat mereka hingga membuatkan Persatuan Seniman dan dan DBKL terpaksa ‘turun padang’ dan menyelesaikan masalah anak seni yang banyak berjasa negara dan kita semua itu, Allah…berat betul dugaan dugaan yang ditanggungnya.

Takdir menentukan.

Pada 6 Februari 2013 kira-kira pukul 6.45 petang, Pak Ya, 84, akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Lebih menyayat hati, dua bulan selepas itu, isterinya Alisah pula meninggal dunia akibat penyakit kanser yang ditanggung sejak sekian lama.

Kisah Pak Ya hanyalah secebis daripada kisah duka yang banyak dilalui oleh anak seni. Bezanya ramai daripada mereka memilih untuk ‘memendam rasa’, bukanlah sangat kerana ego tetapi kerana mereka tidak mahu para peminat tahu kesedihan yang ditanggung.

Biarlah diri mereka saja yang berduka, asal kita di luar sana gembira.

Kepada artis kita yang kaya raya dan mewah ketika ini, ‘pandang-pandanglah’ juga rakan seperjuangan anda yang tidak bernasib baik. Seperti mana manusia lain, artis juga tidak terlepas diuji dengan kesenangan dan kesengsaraan namun realitinya, ramai yang ‘kecundang’ bila diuji dengan kekayaan.

Mungkin hari ini kita di atas, tetapi esok, lusa dan hari seterusnya belum tentu apakah nasib kita yang seterusnya.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allayarham Pak Ya@ Datuk Yahaya Long.

Al-Fatihah – MalaysiaGazette