Seorang petugas yang telah siap memakai sut PPE melakukan kerja-kerja merawat pesakit Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menyeru lebih ramai sukarelawan tampil menyertai pasukan kesihatan dan perubatan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka yang berminat boleh mengisi Borang Pendaftaran Anggota Sukarelawan Pasukan Bantuan Kesihatan Dan Perubatan Covid-19 di laman sesawang Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia.

Katanya, sehingga kini seramai 157 sukarelawan telah menyertai dan ditugaskan sebagai sukarelawan yang ditempatkan secara berperingkat untuk membantu pasukan bantuan kesihatan dan perubatan Covid-19.

Menurut beliau, sejumlah 1,008 orang lagi bakal menyertai pasukan perubatan di hospital, iaitu mereka terdiri daripada pelbagai profesion perubatan.

“KKM ingin memaklumkan bahawa pihak KKM mengalu-alukan perkhidmatan sukarelawan kesihatan dan perubatan dalam menangani penularan kejadian COVID-19 di Malaysia,” katanya di laman Facebook hari ini.

Pelbagai langkah telah diambil Kementerian Kesihatan dalam mengatasi masalah kekurangan petugas berikutan penularan pandemik Covid-19 yang sehingga kini telah menyebabkan 35 kematian di Malaysia.

Berikutan peningkatan kes positif Covid-19, kerajaan juga telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bermula 18 Mac lalu sehingg 14 April, manakala dua kawasan di Simpang Renggam pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Turut dikenakan PKPD tujuh kampung di Sungai Lui termasuk dua perkampungan orang Asli. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.