Wong Chen
Ahli Parlimen Subang Wong Chen

KUALA LUMPUR – Semua Ahli Parlimen daripada pembangkang akan mendapat peruntukan sebanyak RM100,000 bagi membantu rakyat menangani wabak Covid-19 di kawasan masing-masing.

Menurut Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, peruntukan itu telah diluluskan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu emel yang diterima beliau kira-kira jam 10 pagi tadi.

“Berita baik, kami baru sahaja menerima pengesahan rasmi dari pejabat PM (jam 10 pagi) bahawa sejumlah RM100,000 telah disediakan kepada semua Ahli Parlimen Pembangkang, mungkin untuk menangani krisis Covid-19.

“Jumlah ini adalah untuk bertahan sepanjang tahun, tetapi saya berhasrat untuk menghabiskan semua dalam tempoh krisis ini,” katanya Wong Chen dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Menurut emel itu, permohonan projek atau program bagi peruntukan tersebut boleh dikemukakan kepada Pejabat Pembangunan Negeri Selangor melalui Sistem Permohonan Peruntukan Khas (eKhas) pada pautan https://ekhas.icu.gov.my.

Susulan itu, Wong Chen juga memaklumkan beliau akan mengadakan mesyuarat Zoom dengan pegawainya pada jam 12 tengah hari tadi untuk menguruskan cara terbaik untuk mengedarkan bantuan ini.

“Selepas mesyuarat itu, saya akan melibatkan ADUN dan pemimpin masyarakat saya mengenai perbelanjaan yang kami inginkan dan mendapatkan maklum balas mereka.

“Akhir sekali, kita juga harus mematuhi peraturan kerajaan mengenai apa dan bagaimana kita membelanjakannya. Oleh itu, pegawai dan saya akan melihat proses dan prosedur pagi ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette