KUALA LUMPUR – Selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN) untuk mereka yang terjejas akibat Covid-19, timbul suara-suara artis yang mempertikaikan bantuan yang sepatutnya diterima oleh pemain industri hiburan.

Bagaimanapun Amy Search dilihat cuba menenangkan rakan seperjuangannya yang turut terjejas daripada penularan wabak itu.

Vokalis kumpulan Search itu berkata,  bantuan yang diumumkan kerajaan sudah pasti merangkumi golongan artis.

Justeru beliau menyarankan semua artis tempatan bersabar dan mengikuti panduan yang telah ditetapkan.

“Saya percaya selepas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tentang bantuan kepada seluruh rakyat, itu termasuklah buat golongan artis sebab kita juga rakyat Malaysia.

“Jadi sabar dan ikut panduan yang diberikan kerajaan tentang bantuan yang akan disalurkan kepada rakyat Malaysia. Kita artis, kita rakyat Malaysia, kita pasti akan dapat.

“Saya menyeru juga badan badan atau organisasi yang bertanggungjawab menjalankan tugas mereka membantu seluruh pelaku seni termasuk yang di belakang tabir,” katanya yang dipetik Astro Gempak semalam. – MalaysiaGazette