Amiruddin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menyediakan penginapan percuma kepada petugas barisan hadapan, sebagai usaha meringankan beban dan waktu bekerja golongan itu.

Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata, dua hotel, masing-masing di Shah Alam dan Ampang menyediakan lebih 250 bilik untuk didiami sementara oleh petugas berkenaan.

“Saya telah mengumumkan kerajaan negeri akan menyediakan penginapan perbuat untuk para petugas baris hadapan di Selangor.

“Inisiatif ini adalah penghargaan kepada hero kita yang telah bertungkus lumus melaksanakan tugasan mereka,” katanya dalam ciapan Twitter beliau, semalam.

Sementara itu, dalam ciapan sebelumnya, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga bersedia membantu mempermudahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) termasuk bekalan makanan di kawasan terlibat dan akan dilaksanakan dengan koodinasi Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri.

Katanya, antara kawasan yang dilaksanakan PKPD ialah Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat.

“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan keperluan semua penduduk di kawasan ini terjamin sepanjang tempoh PKPD ini,” katanya. – MalaysiaGazette