Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Semua bentuk bantuan dan sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sukarelawan dan orang perseorangan akan diselaraskan oleh Pusat Pengurusan Krisis (PPK).

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini bagi membolehkan PPK memastikan sumber bekalan dan bantuan dapat digunakan secara optimum.

“Kita ucap terima kasih kepada semua warga Wilayah yang beri segala bentuk kerjasama di saat mencabar ini. Ini suatu sifat boleh dibanggakan kerana sangat cakna dan bermurah hati membantu.

“Bagaimanapun, pagi tadi Jemaah Menteri berbincang (mesyuarat), memandangkan situasi ini agak berbeza dengan bencana alam lain seperti banjir dan sebagainya, maka segala bentuk bantuan perlu disalurkan ke PPK.

“Kita berperang dengan virus yang kita tidak nampak dengan mata kita, kita perlu mengawalnya dengan mengikut SOP atau kaedah tertentu, maka kita beri tanggungjawab menyampaikan bantuan ini kepada PPK,” katanya dalam kenyataan menerusi atas talian akaun Facebooknya, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, PPK yang dibentuk bawah JKKN Wilayah Persekutuan akan berfungsi sepenuh masa dengan pelbagai agensi bermesyuarat setiap hari.

Katanya, PPK itu akan menyelaraskan setiap sumbangan atau aktiviti yang hendak dilakukan oleh NGO dan pertubuhan sukarelawan itu supaya mereka tidak sewenang-wenangnya melakukan sendiri kerana dikhuatiri keselamatan masing-masing.

“Kali ini Jemaah Menteri telah menetapkan agar segala bantuan dan sumbangan itu mesti diurus dengan cara yang tertib dan sesuai dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita juga hendak pastikan sumber yang ada itu dapat digunakan secara optimum, kalau tidak mungkin ada berlaku pertindihan, barang kali tempat yang selalu dapat, dapat banyak, ada juga tempat yang lebih memerlukan yang ada dalam pengetahuan PPK ini tidak dapat bantuan,” katanya. – MalaysiaGazette