Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju supaya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil peranan dengan mewujudkan pusat jualan baharu untuk barangan basah bagi menyeimbangkan tumpuan rakyat di pasar basah dan pasar borong.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pusat jualan baharu itu akan dibuka di 77 lokasi di seluruh negara sebagai pusat jualan barangan segar terkawal.

Katanya, antara produk yang dijual di pasar kendalian FAMA itu hanya barang basah sahaja seperti ikan, sayur dan sebagainya, manakala pakaian, makanan dan barangan lain tidak dibenarkan sama sekali.

Jelas beliau, cadangan outlet yang akan dibuka ialah pasar tani terpilih 10 lokasi, pasar tani kekal (16), pusat operasi Fama (17), My Farm Outlet termasuk Putrajaya (tiga), Kompleks Pertubuhan Peladang (34) dan beberapa lokasi bagi kompleks jabatan serta agensi bersesuaian.

“Waktu operasi bagi pasar tani terpilih ialah dari 8 atau 8.30 pagi hingga 11 pagi atau 12.30 tengah hari yang akan dibuka dua kali seminggu, manakala pusat operasi pasar tani mula beroperasi dari jam 8 atau 8.30 pagi hingga 12 tengah hari atau sehingga jam 4 petang setiap hari.

“Bagaimanapun, SOPnya agak ketat iaitu setiap pengunjung akan mematuhi penjarakan sosial satu meter yang ditetapkan, gerai juga akan dijarakkan dan pintu masuk keluar dikawal oleh polis serta anggota tentera.

“Selain itu, Fama juga akan menjual produk agensi itu melalui jualan atas talian dan rakyat digalakkan membeli menerusi atas talian,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan berita baik kepada penyewa gerai di Rawat dan Rehat (RNR) apabila pengurusan lebuh raya Plus, Anih, Latar, Mex , Prolintas, Kesas, Grand Saga dan Grand Sepadu bersetuju mengecualikan sewa kedai selama enam bulan.

Ismail Sabri juga turut menjelaskan, masalah dihadapi penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak akan diselesaikan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggunakan asetnya untuk menghantar barangan keperluan itu.

“Kita terima aduan penduduk rumah panjang kadang-kadang barang keperluan asas tidak dapat dihantar kepada mereka, jadi kerajaan telah memutuskan ATM akan guna asetnya untuk menghantar barang makanan dan keperluan asas ke kawasan pedalaman.

“Rakyat di situ tidak perlu khuatir kerana kerajaan sentiasa memastikan bekalan makanan dan sebagainya untuk mereka mencukupi,” katanya.

Ditanya adakah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketiga, keempat diteruskan dan adakah Ramadan juga rakyat akan berdepan dengan penguatkuasaan larangan itu, Ismail Sabri berkata, ianya bergantung kepada rakyat.

“Ramai bertanya apakah PKP kedua akan diteruskan jadi ketiga dan keempat? Adakah Ramadan nanti PKP dilaksanakan dan bolehkah kita berhari raya dan sebagainya?

“Saya tahu ramai rakyat yang mahu kembali ke penghidupan biasa. Yang boleh memastikan tidak ada PKP ketiga, keempat dan kita boleh berhari seperti biasa adalah kita.

“Jika kita terus mematuhi setiap arahan dan SOP dikeluarkan kerajaan, saya percaya ketakutan kita untuk sambungan PKP akan dapat kita selesaikan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.