Gambar hiasan. foto Agensi

SEOUL – Harga minyak bertambah baik dalam dagangan hari ini selepas Presiden Donald Trump dan Presiden Vladimir Putin bersetuju untuk menstabilkan pasaran minyak.

Tetapi harga minyak masih lagi rendah dalam tempoh 18 tahun memandangkan koronavirus menjejaskan permintaan ke atas bahan bakar itu.

Minyak mentah Brent naik AS$0.19 kepada AS$22.95 setong pada 0054 GMT selepas ditutup AS$22.76 pada sesi sebelumnya, penutup terendah sejak November 2002.

Manakala minyak mentah Amerika Syarikat naik AS$0.59 kepada AS$20.68 setong selepas susut pada paras AS$20.09, paras terendah sejak Februari 2002.

Pasaran minyak telah terjejas akibat wabak koronavirus dan perang harga antara Arab Saudi dan Rusia selepas OPEC dan pengeluar lain gagal bersetuju untuk melanjutkan pengurangan bekalan bagi menyokong harga minyak.

Trump dan Putin telah bersetuju untuk membincangkan kedudukan pasaran minyak, kata Kremlin

“Presiden Trump telah menelefon Presiden Putin untuk membincangkan pasaran harga minyak. Mungkin, dalam usaha untuk meminta Rusia keluar dari meja rundingan dengan Arab Saudi atau mungkin melonggarkan sekatan ke atas Rusia,” kata Stephen Innes, Ahli Strategi Pasaran di AxiTrader.

Arab Saudi, pemimpin OPEC merancang untuk meningkatkan eksport minyak kepada 10.6 juta tong sehari mulai Mei kerana penggunaan tempatan rendah, kata jurucakap Kementerian Tenaganya. – MalaysiaGazette