M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) akan memberikan pengecualian pembayaran levi kepada lebih 30,000 majikan yang berdaftar dengannya untuk tempoh enam bulan mulai April sehingga September ini.

Di bawah Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta 612), semua majikan yang tergolong dari 63 sub-sektor daripada tiga sektor utama – Perkilangan,
Perkhidmatan serta Perlombongan dan Pengkuarian – yang mempunyai 10 atau lebih kakitangan adalah diwajibkan untuk berdaftar dengan Pembangunan Sumber
Manusia Berhad (PSMB) dan membayar levi Pembangunan Sumber Manusia (PSM) pada kadar satu peratus dari keseluruhan gaji bulanan pekerja mereka.

“Tiada sebarang pendaftaran diperlukan oleh majikan berikutan semua majikan berdaftar dengan PSMB akan dikecualikan daripada membuat caruman secara automatik,” kata Menteri Sumber Manusia, Datuk M. Saravanan.

Menurutnya, inisiatif ini merupakan usaha Kerajaan serta Kementerian untuk menjaga kebajikan dan meringankan beban yang ditanggung majikan dan rakyat akibat Covid-19 dan dalam masa yang sama memastikan pasaran pekerja tempatan terus utuh.

Untuk maklumat lebih lanjut berhubung Pengecualian Levi ini, sila layari laman sesawang www.hrdf.com.my. Anda juga boleh menghubungi perkhidmatan pelanggan PSMB di [email protected] atau di talian 1800-88-4800. – MalaysiaGazette