kes positif Covid-19 itu dikesan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pulang daripada Indonesia melalui Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 April lalu.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang bercuti di luar negara, termasuk pelajar dinasihatkan terus kekal tinggal di situ sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bagi menggelakkan penularan wabak Covid-19.

Ini dijelaskan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan mendapati kebanyakan negara luar berdepan dengan pertambahan kes positif Covid-19 akibat dari kepulangan rakyat mereka ke negara masing-masing.

Beliau memberi contoh, walaupun Wilayah Wuhan di China dapat mengawal penularan wabak Covid-19 dari terus merebak, tetapi difahamkan apabila rakyatnya mula pulang ke negara mereka, positif virus itu berlaku semula.

“Kita sedar ramai rakyat kita yang berada di luar negara hendak pulang ke negara ini. Ada antaranya kita bawa pulang melalui pesawat yang ditempah khas oleh kerajaan.

“Bagaimanapun, kita nasihatkan mereka yang mempunyai tempat tinggal di sana kalau boleh tidak perlu pulang lagi. Terus kekal di negara itu kerana mereka mempunyai rumah, tempat tinggal sendiri dan sebagainya.

“Tetapi mungkin ada yang berhasrat hendak pulang juga, maka kerajaan bersetuju setiap mereka akan dikuarantin selama 14 hari sebaik tiba di lapangan terbang,” katanya pada sidang media yang dipancarkan secara langsung menerusi atas talian di sini, hari ini.

Jelas Ismail Sabri, sebaik sampai di lapangan terbang, mereka akan dibawa dengan bas ke pusat kuarantin yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan.

Di situ, katanya, mereka akan disaring untuk melihat status kesihatan mereka dan pada masa sama juga SOP lain yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan perlu dipatuhi oleh mereka yang berada di pusat kuarantin itu.

Beliau turut menasihatkan kepada saudara mara supaya tidak perlu pergi ke lapangan terbang untuk menyambut ahli keluarga mereka yang pulang dari luar negara kerana mereka akan terus dibawa ke pusat kuarantin.

“Bagaimanapun, ibu bapa dan keluarga masih boleh menghubungi ahli keluarga mereka melalui telefon walaupun mereka terpisah selama 14 hari di tempat kuarantin,” katanya.

Ditanya bila penguatkuasaan kuarantin akan dilakukan, Ismail Sabri menjelaskan, ia bermula pada 3 April ini.

“Mereka ini melibatkan penumpang penerbangan komersial dan sesiapa sahaja yang pulang dari luar negara sama ada dengan pesawat tempahan khas atau yang pulang dengan penerbangan biasa.

“Setiap yang tiba di negara ini akan dibawa ke pusat kuarantin,” katanya.

Mengenai proses nyahcemar, beliau berkata, Kementerian Perumahan dan kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan di 47 kawasan, termasuk 23 zon merah. – MalaysiaGazette