Cristiano Ronaldo

TURIN – Tidak dapat dinafikan, kelab Serie A iaitu Juventus kini sangat terkesan dengan penularan virus Covid-19 yang melanda Itali.

Malah pemain kelab itu iaitu Daniele Rugani, Blaise Matuidi dan Paulo Dybala telah disahkan positif pandemik itu.

Itali kini merupakan negara paling teruk terjejas serangan virus Covid-19 apabila kerajaan negara itu mengumumkan perintah berkurung yang lebih tegas untuk mengawal penularan virus tersebut.

Secara tidak langsung, Serie A tidak mungkin akan kembali bersambung dalam tempoh waktu antara satu hingga dua bulan ini.

Hal ini telah merunsingkan pihak pengurusan kelab-kelab yang bertanding untuk menyelamatkan pasukan mereka dari terkena krisis ekonomi yang teruk.

Salah satu langkah terbaik untuk menyelamatkan kewangan pasukan adalah dengan melakukan pemotongan gaji para pemain mereka.

Juventus turut menghadapi krisis yang sama dan mereka telah mengumumkan untuk melakukan pemotongan gaji pemain.

Kesemua pemain dan pengurus pasukan Juventus telah bersetuju untuk dipotong gaji mereka dan memahami krisis yang sedang di alami oleh pasukan mereka.

Menurut laporan dari Tuttosport, bintang utama Juventus, Cristiano Ronaldo telah bersetuju untuk dipotong gajinya sehingga €3.8 juta demi untuk kelangsungan pasukan kesayangannya.

Namun Juventus sendiri sehingga kini tidak mengumumkan secara langsung berapa nilai pemotongan yang mereka lakukan dalam setiap kenyataan mereka.

Kelab itu hanya mengesahkan pemotongan gaji pengurus dan pemain ini akan menjimatkan kos mereka sehingga €90 juta.

Pendapatan Ronaldo di Juventus dianggarkan sekitar €31 juta. Jika jumlah pemotongan €3.8 juta itu benar, kemungkinan gaji semua pemain turut dipotong kira-kira 10 peratus.

Pada masa sama, bintang Portugal tersebut tidak pertikaikan pemotongan itu dan apa yang penting untuk dirinya adalah Juventus boleh terus stabil selepas serangan Covid-19. – MalaysiaGazette