KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua bermula tengah malam ini.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis dan anggota tentera yang bertugas di barisan hadapan akan memastikan dengan tegas setiap rakyat mematuhi peraturan itu.
“Esok bermula PKP fasa dua, di mana jika dahulu (PKP fasa pertama) banyak kelonggaran dan pengecualian, maka dalam tempoh PKP fasa dua ini kita perkenalkan SOP baru, ianya akan lebih diperketatkan.
“Peranan polis dan tentera kali ini memastikan pematuhan itu dipatuhi oleh seluruh rakyat dan tindakan lebih tegas akan dilaksanakan,” katanya dalam sidang media yang dipancar secara langsung melalui atas talian di sini, hari ini.
Beliau berkata, sehingga semalam, polis telah menahan seramai 742 individu melalui sekatan jalan raya dan juga rondaan.
Sebelumnya, kata beliau, terdapat sebanyak 828 tangkapan, tetapi telah menurun kepada 742 orang.
“Saya harap trend ini akan berterusan, jumlah tangkapan yang dilihat menurun ini daripada kelmarin diharap berterusan. Ini merupakan satu gambaran bahawa rakyat semakin sedar mengenai perlunya mereka mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan kerajaan.
“Polis dan tentera telah mengadakan sebanyak 1,547 sekatan jalan raya dan melakukan pemerikaan ke atas 383,488 kenderaan serta melakukan sebanyak 22,586 pemeriksaan mengejut,” katanya.
Ismail Sabri menjelaskan, dalam tempoh PKP pertama yang akan berakhir tengah malam ini, seramai 165 individu telah dituduh di mahkamah dan enam daripadanya dijatuhkan hukuman denda atau penjara.
Manakala di Sarawak, hukuman penjara yang dikenakan ke atas pesalah yang ingkar ini ialah satu hingga empat bulan.
Mengeai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), beliau menjelaskan, PKPD ketiga telah dilaksanakan di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.
Ujar beliau, PKPD pertama dan kedua ialah di Simpang Renggam, Johor; dan di Hulu Langat, Selangor.
“PKPD ketiga ini dilaksanakan berikutan 17 kes positif jangkitan Covid-19 di kalangan penghuni Menara City One. Ianya melibatkan 3,200 penghuni di 502 unit kondominium yang akan bermula hari ini sehingga 13 April ini.
“Seperti juga SOP di tempat lain, mereka tidak dibenarkan untuk keluar atau masuk ke kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette
















