KUALA LUMPUR – Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) berharap agar penyedia perkhidmatan dapat memastikan kualiti perkhidmatan pakej Internet percuma yang diberikan kepada pengguna berada pada tahap terbaik bagi membolehkan pengguna dapat berhubung dan mendapatkan maklumat terkini dengan lebih pantas.

Pakej khas yang bernilai RM600 juta tersebut telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020.

Sehubungan itu, CFM menasihatkan semua pengguna agar terus mengikuti laman web dan laman sosial rasmi penyedia perkhidmatan masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pakej khas tersebut.

Sebelum bantuan ini diumumkan, terdapat beberapa syarikat penyedia perkhidmatan telah memberi tawaran kepada para penggunanya.

Ia seperti menyediakan data tambahan, data percuma untuk berita terkini dan portal khas, bayaran balik kredit untuk tambah nilai digital, bantuan tambah nilai (SOS top-up), tawaran separuh harga untuk data tanpa had, akes tanpa had percuma kepada beberapa aplikasi, panggilan percuma ke perkhidmatan kesihatan dan CPRC Kebangsaan, juga termasuk tawaran tontonan percuma untuk rancangan televisyen terpilih.

Menurutnya, inisiatif daripada penyedia perkhidmatan ini adalah untuk membantu para pengguna untuk kekal berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memerangi wabak pandemik Covid-19 dalam negara.

”Melalui pelbagai inisiatif yang ditawarkan kepada pengguna menunjukkan komitmen daripada penyedia perkhidmatan untuk memahami cabaran dan situasi yang dihadapi pengguna dalam keadaan yang amat sukar ketika ini.

”Melalui tawaran internet percuma yang ditawarkan, CFM berharap agar pengguna dapat terus menikmati kualiti perkhidmatan yang terbaik,” kata Pengerusi CFM, Datin Mohana Mohariff.

Dalam pada itu, CFM juga memahami masalah rangkaian yang dihadapi pengguna ketika ini akibat kesesakan rangkaian yang berpunca daripada ramai pengguna yang menggunakan rangkaian di kawasan yang sama.

Pengguna perlu memahami punca masalah ini berlaku adalah disebabkan banyak peranti mudah alih yang akan bersaing untuk mendapatkan sambungan pada rangkaian yang sama.

Tambahnya, rangkaian akan menjadi sesak apabila ramai yang menggunakan aplikasi yang memerlukan peruntukan data yang banyak seperti perkongsian foto dan perayauan video.

”Apabila berlakunya masalah kesesakan rangkaian, ia boleh memberi kesan kepada prestasi peranti pengguna seperti penurunan kelajuan data.

”Pengguna juga akan mengalami masalah seperti panggilan terputus walaupun telefon mempunyai isyarat disebabkan rangkaian tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menyambungkan panggilan,” tambah Mohana. – MalaysiaGazette