Anggota Bomba sedang menjalankan kerja-kerja sanitasi berikutan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An- Nabawiyyah dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor. foto IQBAL BASRI, 31 MAC 2020

HULU LANGAT – Proses disinfeksi di kawasan Sungai Lui bermula hari ini dengan meliputi empat kawasan utama.

Ia dimulakan jam 9 pagi tadi dengan melibatkan 53 anggota terdiri daripada Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), dan Alam Flora.

Turut terlibat adalah Pasukan Bomba Sukarela, Pejabat Kesihatan Daerah, Pasukan Unit Bencana.

Antara kawasan yang menjalani proses nyahkuman adalah pos kawalan bomba Kampung Sungai Lui, Masjid Ar Rahman, Sekolah Rendah Agama Sungai Lui dan Klinik Desa Sungai Lui.

Sebanyak 3,000 liter bancuhan bahan kimia digunakan dalam proses disinfeksi, hari ini.

Anggota Bomba dan Anggota Rescue Bencana Malaysia (RBM) menjalani proses dekontaminasi selepas selesai kerja-kerja sanitasi berikutan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An- Nabawiyyah dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor. foto IQBAL BASRI, 31 MAC 2020

Sungai Lui merupakan salah satu kawasan zon merah di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor yang dilaksanakan Perintah Kawasan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 13 April.

PKPD di kawasan itu membabitkan 3,918 penduduk merangkumi 700 rumah. Ini termasuk tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu. – MalaysiaGazette