RIYADH – Arab Saudi meminta umat Islam menunggu sehingga gambaran yang lebih jelas pandemik koronavirus diperolehi sebelum membuat perancangan perjalanan mengerjakan ibadah haji, kata Menteri Haji dan Umrah kepada rangkaian televisyen, Al-Ekhbariya.

“Berhubung kumpulan haji, kami telah meminta dunia supaya tidak tergesa-gesa sehingga laluan epidemik menjadi lebih jelas, perlu diingat tentang keselamatan jemaah (haji) dan kesihatan awam sebagai satu keutamaan,” kata Dr. Muhammad Salih bin Taher Banten.

“Kami telah mengkoordinasi dengan Kementerian Kesihatan dengan mengadakan pemeriksaan hotel yang digunakan untuk tujuan isolasi bagi memastikan semua perkhidmatan dan penjagaan disediakan kepada jemaah,” tambah beliau seperti dipetik akhbar Arab News.

Musim haji akan bermula akhir Julai ini namun penularan koronavirus dan sekatan perjalanan yang dilaksanakan Arab Saudi bagi menghalang penularan virus itu daripada merebak telah mencetuskan pesoalan sama ada musim haji akan diteruskan.

Negara itu telah menggantung jemaah melakukan umrah sehingga diberitahu kelak, menghentikan operasi penerbangan penumpang antarabangsa dan pada minggu lalu ia menghalang pergerakan masuk dan keluar di beberapa buah bandar, termasuk Mekah dan Madinah.

Arab Saudi mencatatkan 1,563 kes Covid-19 dengan lebih 10 kematian. – Agensi