Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim menasihatkan pemandu dan penumpang supaya pulang ketika meninjau Op Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang masuk hari ke- 11 di Persiaran Utara arah Hospital Serdang, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 28 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Kadar indeks jenayah di kontinjen Kuala Lumpur menurun sebanyak 57.4 peratus sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa
pertama pada 18 hingga 31 Mac 2020.

Statistik indeks jenayah menurun kepada 184 berbanding 432 untuk tempoh tersebut

Jenayah kekerasan mencatatkan penurunan sebanyak 62.8 peratus dan jenayah harta benda pula menunjukkan penurunan sebanyak 55.5 peratus.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, penurunan kadar jenayah itu disebabkan pihak polis telah
meningkatkan jumlah sekatan jalan raya, rondaan Kereta Polis Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB), elemen-elemen Balai Polis dan mewujudkan pasukan pemantau.

Katanya, pasukan pemantau itu berperanan menguatkuasakan perlaksanaan PKP, sekali gus mencegah jenayah daripada berlaku.

“Pada masa yang sama, Polis Kuala Lumpur juga berusaha keras dalam memastikan penguatkuasaan PKP bagi tujuan membendung penularan Covid-19.

“Sekatan jalan raya dan pemeriksaan telah dijalankan dan dipergiatkan lagi oleh pihak polis bagi memastikan orang ramai
mematuhi PKP dan pengecualian hanya diberikan kepada mereka yang berkhidmat dalam Essential Services sepertimana yang
disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mazlan, sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP, Polis Kuala Lumpur telah membuka sebanyak 105 kertas siasatan.

Tambah beliau, setakat 31 Mac 2020, jumlah tangkapan adalah seramai 194 orang yang terdiri daripada 127 orang warganegara Malaysia dan 67 orang warganegara asing yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 86 tahun.

Tangkapan terhadap individu-individu itu dilakukan kerana didapati telah mengingkari PKP iaitu tidak mengendahkan amaran dan nasihat yang diberikan oleh polis, tidak memberikan kerjasama dan tidak mematuhi arahan polis serta memberikan alasan yang tidak munasabah.

Menurut beliau, seramai 64 orang telah dituduh di mahkamah.

Antara kesalahan-kesalahan yang dilakukan adalah di bawah Seksyen 22(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988, Peraturan 7 Peraturan-Peraturan
Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, katanya.

“Polis Kuala Lumpur akan terus komited membanteras jenayah bagi memastikan tahap keselamatan di bandaraya Kuala Lumpur adalah terjamin.

“Selain itu, Polis Kuala Lumpur juga menasihatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang maklumat di media sosial dan tidak menularkan perkara-perkara tidak sahih dan tidak benar yang boleh menimbulkan ketakutan mahu pun kegusaran orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata, bagi perlaksanaan PKP fasa kedua pada 1 hingga 14 April ini, polis Kuala Lumpur akan bertindak lebih tegas dan memastikan perlaksanaannya dipatuhi sepenuhnya oleh orang ramai dengan mengadakan sebanyak 56 sekatan jalan raya melibatkan seramai 4,470 orang
petugas.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 554 orang Pegawai Kanan Polis, 3,016 orang Pegawai Rendah Polis, 664 petugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 36 orang petugas RELA, 98 orang petugas Angkatan Pertahanan Awam (APM), 28 orang
petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 28 orang petugas Radicare, 11 orang petugas Institut Sosial Malaysia (ISM) dan 35 orang petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan
Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette