SHAH ALAM – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan percubaan mengimport sisik tenggiling yang dianggarkan bernilai RM78 juta di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang dekat sini semalam.

Kenyataan jabatan itu hari ini menyebut bahawa percubaan mengimpot sisik tenggiling seberat 6,160 kilogram, yang merupakan dagangan larangan, telah dipatahkan JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) susulan penahanan sebuah kontena berukuran 20 kaki di pelabuhan berkenaan.

Jabatan itu berkata, rampasan tersebut adalah yang terbesar dilakukan JKDM tahun ini melibatkan sisik tenggiling.

“Semakan borang K4 (Manifest Import) mendapati kontena tersebut diikrar membawa kacang gajus. Namun siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah menyembunyikan sisik tenggiling terbabit di sebalik guni-guni berisi kacang gajus bagi mengaburi mata pihak JKDM.

“Sisik tenggiling dikategorikan sebagai larangan import mengikut Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa larangan import sisik tenggiling adalah selaras dengan Butiran 1 Bahagian III Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 kecuali jika terdapat kelulusan permit import dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurut JKDM, pengimport dan ejen kastam yang terlibat dalam percubaan menyeludup sisik tenggiling itu sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

“JKDM menyeru kepada orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau tampil ke pejabat kastam terdekat,” katanya. – Bernama