Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Malaysia menafikan dakwaan Migrant Care (Perhimpunan Indonesia Untuk Buruh Migran Berdaulat) bahawa ia mengusir warga Indonesia secara besar-besaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyifatkan kenyatan organisasi itu sebagai tidak benar dan tidak bertanggungjawab berkata, dakwaan tersebut turut dinafikan pihak berkepentingan di Indonesia.

“Menteri Luar Indonesia, Ibu Retno Marsudi sebelum ini menyatakan memang akan ada sekumpulan rakyat Indonesia pulang, tetapi beliau tidak menyebut kerana pengusiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Migrant Care dalam satu kenyataan kepada media Indonesia mendakwa Malaysia mengusir rakyat negara itu secara besar-besaran sebaik sahaja PKP dilaksanakan dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Organisasi tersebut juga mendakwa tindakan itu menyebabkan berlakunya penularan virus terbabit dalam kalangan pekerja Indonesia kerana terpaksa pulang beramai-ramai dan dalam keadaan bersesak.

Menurut Hishammuddin, hubungan beliau dengan rakan sejawatnya itu adalah cukup baik, malah Wisma Putra dan Kementerian Luar Indonesia sentiasa berhubung bagi membincangkan kepentingan rakyat negara masing-masing yang menetap di Malaysia dan Indonesia.

Mengulas lanjut mengenai penafian pihak berkepentingan di Indonesia, Hishammuddin berkata, Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah telah menegaskan rakyat negara itu pulang bukan kerana diusir, sebaliknya dihantar pulang kerana masuk ke Malaysia tanpa izin sebelum krisis COVID-19.

“Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur turut menafikan berlakunya pengusiran,” jelasnya.

Tambah beliau, Koordinator Fungsi Pensosbud Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Johor Bahru, Anang Fauzi Firdaus turut mengakui rakyat Indonesia pulang atas beberapa sebab iaitu tamat tempoh kebenaran menetap dan tiada kerja sepanjang tempoh PKP di Malaysia.

Berikutan itu, Hishammuddin menasihatkan orang ramai menyemak dahulu kesahihan fakta sebelum mengeluarkan kenyataan kerana dakwaan tidak bertanggungjawab boleh mengeruhkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia. – MalaysiaGazette