Anggota Polis dan anggota Pasukan Gerakan Am (PDRM) membuat penutupan jalan berikutan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An- Nabawiyyah dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 MAC 2020

HULU LANGAT – Gara-gara memberi maklumat palsu kononnya dia adalah ahli tabligh, seorang lelaki yang ditangkap berkeliaran di sebuah pangsapuri di Balakong direman selama empat hari.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang ACP, Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, lelaki berusia 20 tahun itu ditahan jam 2 pagi Insin lalu kerana memberikan maklumat palsu dengan mendakwa dirinya sebagai salah seorang ahli tabligh Masjid Jamek Seri Petaling.

“Pada 30 Mac, lebih kurang jam 2 pagi pihak polis Kajang dalam menguatkuasakan PKP telah menangkap seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Balakong.

“Siasatan dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan juga Peraturan 7, Peraturan Pencegahan telah menahan reman selama empat hari suspek.

“Semasa dalam tahanan, suspek telah memberikan kenyataan bahawa dia juga adalah salah seorang ahli tabligh yang telah pergi ke Seri Petaling,” kata Ahmad Dzaffir dalam sidang media di pintu kawalan pos Batu 21, Sungai Lui hari ini.

Ekoran kenyataan palsu suspek, satu proses disinfeksi telah dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam.

Hasil siasatan mendapati suspek yang ditahan itu menipu polis dan beralasan beliau takut ditahan oleh pihak polis.

“Siasatan telah dibuat dan temuduga telah dibuat kepada ahli keluarga suspek dan didapati dari maklumat keluarganya menyatakan dia bukan ahli mana-mana kumpulan tabligh.

“Siasatan semula kepada suspek didapati suspek telah mengaku tujuan dia kata dia adalah ahli tabligh adalah bertujuan untuk mengelak sesiapa dia ditangkap dan direman oleh polis.

“Kami juga boleh siasat atas beri keterangan palsu kepada penjawat awam,” katanya lagi.

Ahmad Dzaffir turut mendedahkan sebanyak 43 tangkapan telah dibuat oleh pihaknya ekoran pelanggaran PKP.

Daripada jumlah itu, dua orang telah dihadapan ke mahkamah. -MalaysiaGazette