Spotify Technology SA menawarkan cara baharu kepada ibu bapa untuk melayan anak-anak di rumah terutama ketika kebanyakan negara mengeluarkan perintah duduk di rumah.

Gergasi strim audio dari Sweden itu melancarkan aplikasi terbaharu khusus untuk kanak-kanak di Amerika Syarikat, Kanada dan Perancis.

Aplikasi terkini itu merangkumi lebih 8,000 lagu, buku audio dan cerita kanak-kanak yang dipilih sendiri oleh editor syarikat berkenaan.

Lebih separuh daripda lagu-lagu dan cerita berkenaan adalah dicipta khusus untuk pasaran tempatan.

Pemilik perkhidmatan muzik berbayar terbesar dunia itu sedang berusaha meluaskan lagi capaian selepas aplikasi tersebut berjaya dalam ujiannya di kebanyakan negara termasuk Ireland, Sweeden dan Mexico.

Spotify yang mempunyai lebih 270 juta pengguna bagaimanapun hanya menawarkan aplikasi Spotify Kids kepada pengguna yang melanggan pelan premium keluarga sahaja.

Pelan yang membenarkan perkongsian enam akaun berbeza itu berharga AS$15 (RM65) sebulan di Amerika Syarikat.

Permintaan terhadap lagu kanak-kanak mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah setakat ini apabila kebanyakan keluarga terpaksa menghabiskan masa di rumah sahaja bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19

Di Amerika Syarikat, permintaan terhadap lagu kanak-kanak melonjak sebanyak 12 peratus minggu lepas.- Agensi