Wakil gerakan sukarelawan MAB Official Team sampaikan stok makanan keropok udang serta kelengkapan topeng muka kepada wakil pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Sebagai mengurangkan beban pelajar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebuah syarikat pengeluar makanan halal menghantar hampir 1,000 pek makanan keluaran mereka ke beberapa Institut Pengajian Tinggi Awam dan swasta.

Syarikat Boon Lee Food Industries Sdn Bhd (Boon Lee) yang berpengkalan di Kamunting, Perak turut bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan, Persatuan Kebajikan Kasih Sayang ‘Ai Xin’ Malaysia (Persatuan Aixin) dan gerakan sukarelawan, MAB Officials Team bagi tujuan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Boon Lee, Datuk Pang Kan Hong berkata, inisiatif dijalankan syarikat bukan baharu malah sebelum ini pernah menghantar stok makanan keluaran syarikat kepada golongan memerlukan sejak penubuhan syarikat pada 1972.

Beliau berkata, usaha seumpama itu adalah kelaziman buat rakyat Malaysia yang sentiasa membantu antara satu sama lain apatah lagi ketika negara mendepani pandemik Covid-19 ini.

“Melalui kerjasama dengan Persatuan Aixin dan MAB Officials Team, kami menghantar pelbagai produk keropok udang keluaran syarikat ke wakil pelajar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Sumbangan ini adalah sebagai menyokong segala usaha kerajaan yang sentiasa prihatin dengan golongan pelajar dan ini adalah sebahagian dari usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, kerjasama pintar dengan NGO dan gerakan sukarelawan akan diteruskan kerana mereka mempunyai lebih banyak pengetahuan tentang golongan memerlukan di seluruh Malaysia.

Sementara itu, wakil gerakan sukarelawan MAB Official Team, Zeifry Ibrahim berkata, kerjasama dijalinkan itu adalah usaha berterusan dilakukan pihaknya dalam memastikan golongan memerlukan terutama pelajar yang berjauhan dengan keluarga dibantu.

“Kami merakamkan jutaan terima kasih kepada syarikat Boon Lee yang sudi bekerjasama dengan kami melalui sumbangan produk makanan kerana ia dapat menokok tambah makanan bagi pelajar yang mematuhi PKP di asrama masing-masing.

“Pemilihan produk makanan juga diteliti kerana kami tak mahu pelajar dilambakkan dengan makanan tidak sihat dan Boon Lee menghantar produk keropok yang menggunakan udang segar dan ini dapat dijadikan makanan tambahan buat pelajar.

“Selain makanan ringan, kami turut menghantar sumbangan seperti topeng muka serta cecair penyahkuman kepada pelajar dalam memastikan mereka mematuhi panduan kebersihan diri dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Semua barangan dihantar melalui wakil-wakil kami di setiap kawasan dan kami mengalu-alukan syarikat korporat untuk bekerjasama dengan kami terutama bagi disumbangkan kepada pelajar IPTA dan IPTS,” ujarnya.

Wakil syarikat korporat boleh menghubungi gerakan sukarelawan MAB Officials Team, di talian 013-538 0174 (Muhammad Rahimin Ismail). – MalaysiaGazette