Najmi Mohamad Saifullah
Jurutera Operasi Worldwide Landfills, Najmi Mohamad Saifullah meninjau sisa pepejal ketika tinjauan Malaysia Gazette ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Jeram, Kuala Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2020

KUALA SELANGOR – Dalam kesibukan orang ramai mencegah diri daripada dijangkiti wabak Covid-19 dengan mengasingkan diri di rumah, pastikan alat perlindungan peribadi (PPE) seperti topeng muka dan cecair pembasmi kuman menjadi keutamaan.

Namun penggunaan PPE itu tidak memadai hanya sekadar mengenakannya ketika berada di luar rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa kedua sejak semalam.

Tinjauan MalaysiaGazette ke Tapak Pelupusan Sanitari Jeram hari ini mendapati, wabak Covid-19 dikhuatiri sukar dibendung sekiranya kelengkapan PPE yang telah digunakan tidak dilupuskan dengan betul.

Sisa PPE
Topeng penutup mulut dan hidung turut kelihatan bersama sisa pepejal yang lain ketika tinjauan Malaysia Gazette ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Jeram, Kuala Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2020

Apa tidaknya semasa tinjauan, wartawan MalaysiaGazette mendapati terdapat banyak kelengkapan PPE seperti topeng muka dan sarung tangan getah dibuang bersama sisa pepejal lain, sedangkan ia boleh dikategorikan sebagai sisa klinikal yang perlu dilupuskan secara berasingan.

Ketika musim wabak Covid-19 inilah sepatutnya orang ramai perlu lebih berhati-hati dan mengambil langkah berwaspada kerana dikhuatiri sisa PPE yang telah digunakan mungkin dijangkiti virus pembawa maut itu.

Menurut Jurutera Operasi Bahagian Alam Sekitar Worldwide Holdings Berhad yang mengendalikan tapak pelupusan sanitari itu, Najmi Mohamad Saifullah, sikap sambil lewa orang ramai dibimbangi boleh memudaratkan petugas-petugas yang menguruskan sisa domestik tersebut.

Sarung tangan turut kelihatan bersama sisa pepejal yang lain ketika tinjauan Malaysia Gazette ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Jeram, Kuala Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2020

Katanya, sepatutnya sisa PPE itu perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum dibuang ke dalam tong sampah yang kemudiannya akan dibawa ke tapak pelupusan sanitari untuk pelupusan.

“Sisa PPE ini perlu diuruskan dengan betul di tempat sesuai, bukan dibuang bersama dengan sampah domestik.

“Kalau nak memudahkan lagi, mungkin kita boleh basuh dulu dengan sabun sisa PPE itu, pastikan tiada kuman, sebelum kita buang di tempat sesuai.

“Kalau ada interaksi pun, sisa PPE itu bebas daripada segala virus,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram, di sini, hari ini.

Jentolak
Pekerja menolak sisa pepejal dengan menggunakan jentolak ketika tinjauan Malaysia Gazette ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Jeram, Kuala Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2020

Memandangkan masih ramai orang yang membuang sisa PPE bersama sisa domestik lain, pihak Worldwide Holdings tiada pilihan lain, melainkan merawat sisa klinikal itu sama seperti sisa pepejal lain.

Bagi mengelakkan virus Covid-19 menjangkiti petugas-petugas di tapak pelupusan itu, pihaknya melarang kakitangan mengendalikan sisa PPE dengan tangan bagi tujuan pengasingan.

“Kita ada jumpa topeng muka, sarung tangan, kebanyakan bahan buangan ini adalah sisa domestik (pengguna) daripada kawasan perumahan.

“Itu antara cabaran yang kita hadapi di sini sebab kita tak dapat pastikan sama ada sisa PPE ini mempunyai virus atau tidak.

“Kita cuma boleh siapkan diri kita dengan PPE yang sesuai dan pastikan kita tidak berada berhampiran dengan sisa PPE yang berisiko tinggi dengan jangkitan Covid-19,” katanya.

Pekerja-pekerja selepas menimbang berat lori ketika tinjauan Malaysia Gazette ke Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Jeram, Kuala Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2020

Katanya lagi, pengasingan sisa PPE sepatutnya bermula dari rumah pengguna sendiri dan bahan buangan berisiko itu hanya boleh dikenal pasti apabila plastik sampah terkoyak ketika jentera meratakan sisa domestik di situ.

“Kita tak boleh tahu plastik sampah mana yang ada sisa PPE, melainkan apabila ia terkoyak barulah kita boleh nampak apa isi kandungannya.

“Ada yang kami temui sisa PPE dibuang di sini dalam jumlah yang agak besar, mahu tidak mahu kami kena lupuskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) di tapak ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette