Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR- Sebuah jawatankuasa khas Kabinet ditubuhkan bagi membangunkan langkah-langkah strategik bagi memelihara ekonomi dan pasaran kerja yang terjejas akibat Covid-19.

Jawatankuasa khas itu disasarkan untuk mencari keseimbangan di antara keutamaan ekonomi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia juga akan memberi fokus terhadap langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengekalkan enjin ekonomi Malaysia terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ketika PKP dikuatkuasakan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam satu kenyataan hari ini berkata, jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kanan (Kluster Ekonomi), Datuk Seri Azmin Ali dan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia turut dianggotai oleh tokoh-tokoh lain yang terlibat dalam ekonomi dan keselamatan negara.

Mesyuarat pertama dijadualkan pada Jumaat manakala mesyuarat kedua bakal diadakan pada Ahad ini.

Hasil mesyuarat akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Mesyuarat Tindakan Ekonomi pada Isnin.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast