Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (PEMBAWA), Tajudin Mohd. Yunus.

KUALA LUMPUR – Industri pengangkutan bas ekspres berdepan keadaan suram ketika ini apabila diibaratkan seperti kais pagi makan pagi dalam usaha untuk meneruskan kelangsungan operasi syarikat setiap hari.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (PEMBAWA), Tajudin Mohd. Yunus berkata, lebih memburukkan lagi keadaan, pengusaha bas kini terpaksa berdepan dengan kesan penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 15 Mac lalu.

Beliau menjelaskan, sejak menghentikan perkhidmatan pada 20 Mac lalu, pengusaha bas ekspres terus kehilangan pendapatan dan berdepan masalah untuk membayar gaji kakitangan.

“Secara keseluruhan, pengusaha bas ekspres telah menghentikan perkhidmatan sejak 20 Mac lalu selepas arahan dikeluarkan pada 18 Mac lalu.

“Sejak itu pendapatan kami adalah kosong daripada tarikh tersebut hingga sekarang. Sebelum ini ada syarikat yang boleh dapat pendapatan RM20,000 hingga RM50,000 bergantung jumlah bas yang dimiliki.

“Ketika ini, nasib lebih 1,100 pemandu bas terjejas apabila mereka tidak bekerja namun pengusaha masih perlu membayar gaji mereka selain gaji 300 kakitangan lain,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Pengusaha bas ekspres telah menghentikan perkhidmatan sejak 20 Mac lalu.

PEMBAWA yang ditubuhkan pada tahun 1982 di Johor Bharu kini memiliki jumlah ahli berjumlah 18 syarikat meliputi 747 bas dan jumlah keseluruhan pekerja seramai 2,614 orang.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, industri pengangkutan bas ekspres merupakan satu perniagaan yang semakin sukar kerana perlu mendapat titik pulangan modal (BEP) sekurang-kurang RM1,000 sehari.

Namun jelas beliau, ada syarikat yang hanya mampu memperoleh BEP sekitar RM500 untuk menampung kos operasi yang tinggi.

“Senario industri perniagaan sangat sukar kerana sukar bagi pengusaha mendapat keuntungan. Jika ada pun, hanya untung yang sedikit sejak dua tahun kebelakangan ini.

“Lebih teruk apabila tiada pendapatan ketika ini untuk menanggung liabiliti yang besar seperti pembiayaan bas, hutang peminjam dan membayar gaji kakitangan,” katanya.

Mengulas keadaan bas ekspres yang tidak bergerak dalam tempoh yang lama sejak 20 Mac lalu, Tajudin berkata, pemilik bas akan memanas enjin kenderaan itu setiap pagi bagi mengelak kesan sampingan kepada penyelenggaraan pada masa akan datang.

Pengusaha bas ekspres berharap operasi syarikat dapat disambung semula selepas 14 April ini.

Beliau turut berharap agar PKP tidak disambung selepas 14 April ini bagi mengembalikan operasi industri kembali seperti biasa.

Jelas beliau, ini kerana bas ekspres merupakan pengangkutan awam yang popular bagi tempoh perjalanan jauh melibatkan pelbagai golongan.

“Jadi PEMBAWA memohon orang ramai duduk rumah dan patuh kepada PKP fasa kedua ini kerana kita ingin melihat statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) agar kes positif baharu dan kematian berkurang setiap hari.

“Ketika ini keputusan di tangan rakyat kerana Covid-19 ini melibatkan wabak pandemik di seluruh dunia. PEMBAWA juga ingin merakamkan ucapan perhargaan kepada kerajaan, KMM dan semua petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus membendung penularan wabak Covid-19 ini,” katanya. – MalaysiaGazette