Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, ACP Mohd Ismail Muslim bercakap pada sidang media berkenaan OPS Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan wabak Covid-19 di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor. foto IQBAL BASRI, 02 APRIL 2020

SHAH ALAM – Polis Selangor tidak merekodkan sebarang tangkapan ke atas kluster tabligh bagi membantu menangani wabak Covid-19, kerana semua memberi kerjasama baik.

Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Selangor, Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim berkata, kumpulan itu memberi kerjasama yang sangat baik kepada polis mahupun Kementerian Kesihatan.

“Setakat ini tidak ada kes tangkapan kluster tabligh yang tidak memberi kerjasama dibuat. Kumpulan ini telah memberikan kerjasama yang sangat baik kepada polis dan KKM.

“Selain itu, kita juga diberi tanggungjawab mengesan mereka yang pernah ada kontak dengan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling. Semuanya berjalan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian mewakili Ketua Polis Selangor pada sidang media khas di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Jelas beliau, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, situasi keselamatan di negeri itu berada dalam suasana aman tanpa sebarang insiden yang mengganggu ketenteraman awam.

Kata Mohd Ismail, sejak Operasi Covid-19 (Op Covid-19) mula dijalankan sehingga masuk hari ke-15 hari ini , situasinya berada pada tahap terbaik.

“Polis Selangor telah menempatkan kekuatan yang mencukupi bagi menguatkuasakan PKP sepanjang Op Covid-19.

“Anggota tentera juga turut berkolaborasi dengan polis Selangor bagi melancarkan lagi pelaksanaan perintah PKP ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, sepanjang tempoh penguatkuasaan pihaknya telah menerima sebanyak 600 laporan polis berkaitan pelanggaran PKP.

Katanya, berdasarkan kumulatif laporan kes itu, pada hari pertama PKP sehingga semalam, 350 kes telah disiasat dan daripada jumlah itu 727 tangkapan dibuat.

Jumlah itu melibatkan 171 orang Melayu iaitu 160 lelaki dan 11 perempuan; 60 kaum Cina (52 lelaki, lapan perempuan); 253 orang India (249 lelaki, empat perempuan); dan 243 orang bukan warganegara (224 lelaki, 19 perempuan).

Dari jumlah kes yang disiasat pula, 36 kes telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kajang, Mohd Ismail menyatakan, kerajaan telah mengambil tindakan melaksanakan PKPD di tujuh kampung di Hulu Langat berkuatkuasa 29 Mac hingga 13 April ini.

Antara kampung terlibat ialah Kampung Batu 21, Kampung Batu 22, Kampung Batu 23, Kampung Batu 24 dan Kampung Gemi.

Manakala dua kampung Orang Asli yang terlibat dengan PKPD itu ialah Kampung Bagai dan Kampung Paya Lebar.

Katanya, lokasi terjejas masih lagi di kawasan Madrasah Al-Nabawiyah sebagai Pusat Tahfiz dengan jumlah 282 pelajar berumur antara 13 hingga 40 tahun.

“Dari jumlah itu, seramai 193 pelajar dikuarantin di madrasah berkenaan, manakala 89 lagi disahkan positif dan dirawat di Hospital Sungai Buloh,” katanya. – MalaysiaGazette