Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sama ada kerajaan ingin meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua selepas 14 April depan atau tidak ia bergantung kepada saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM).

Ujar Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, apa-apa cadangan kearah itu akan dirujuk kepada KKM kerana berdasarkan laporan kementerian itu, ia semakin menunjukan kesan positif.

“Sama kita teruskan atau tidak PKP kedua ini belum diputuskan tapi kalau kita ikut daripada laporan KKM jumlah positif mendatar tapi kita doakan jika perintah ini diikuti dengan baik mungkin kes positif akan menurun,” katanya dalam sidang media harian di Perdana Putra hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data terkini kes positif Covid-19 semakin mendapat yang menunjukkan terdapat tanda awal kejayaan kerajaan dalam membendung penularan wabak berkenaan.

Data itu merupakan hasil daripada pelaksana PKP fasa satu yang berakhir semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, bermula esok semua warganegara Malaysia dan luar negara diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari sebaik memasuki negara ini.

Ia berkuatkuasa di semua pintu masuk negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Esok mula kuarantin wajib yang pulang dari luar negara. Setiap warga yang masuk ke negara kita akan dikuarantin melalui jalan udara, jalan laut atau darat sekalipun.

Ia akan dilakukan di semua pintu masuk bukan di KLIA, klia2 sahaja tapi termasuk di Johor, Sabah dan Sarawak.

“Setiap kemasukan warga Malaysia atau di mana sahaja akan dikuarantin selama 14 hari. Kita sediakan bas untuk mengangkut rakyat kita yang pulang dari luar negara untuk dihantar ke pusat kuarantin yang disediakan,” katanya.

Ditanya mengenai penganjuran bazar Ramadan, Ismail Sabri menegaskan, perkara itu belum lagi dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Khas Menteri Kabinet.

Malah katanya, perkara itu juga memerlukan saranan daripada KKM.

“Tidak ada perbincangan formal lagi tentang bazar Ramadan ini dan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri pun masih belum membincangkan perkara ini. Masih terlalu awal untuk kita bimbangkan perkara tersebut. Kita perlu dapat pandangan KKM samada diteruskan atau tidak ada bazar Ramadan,” jelas Menteri Pertahanan itu.

Bercakap mengenai proses sanitasi nyahcemar yang dijalankan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Ismail Sabri berkata kementerian itu telah mengenalapsti sejumlah 348 kawasan awam untuk menjalani proses sanitasi.

Malah katanya sehingga semalam, sebanyak 93 kawasan telah berjaya disinfeksi oleh petugas KPKT antaranya Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama KKM.

“Hari ini sahaja sebanyak 47 kawasan di lapan negeri akan dinyah kuman. Atas nasihat KKM, SOP operasi sanitasi awam telah dibangunkan untuk memberikan panduan kepada semua pihak terlibat bagi memastikan tempat awam bebas Covid-19.

“Ada yang kata proses nyahcemar itu tidak ikut peraturan, KKM telah keluarkan setiap nyah cemar itu dilaksanakan. Proses nyah cemar itu akan diteruskan bukan tempat awam tapi dari rumah ke rumah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette