Pengerusi Persatuan Gerakan Kemanusian Malaysia (MyHumanitarian), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

KUALA LUMPUR – Prosedur Operasi Standard (SOP) yang tersusun dan betul menjamin kejayaan agihan bantuan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepanjang tempoh memerangi penularan wabak Covid-19.

Semua NGO perlu memahami SOP yang ditetapkan dan mematuhinya sepanjang masa terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Pengerusi Persatuan Gerakan Kemanusian Malaysia (MyHumanitarian), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

“Kami penggerak sukarelawan dan NGO berbesar hati apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengeluarkan SOP penyaluran sumbangan bantuan kepada kumpulan mudah terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan Covid-19.

“Ia seiring pandangan kami kepada Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, yang mendengar saranan kami sebelum ini untuk memastikan kelancaran prosedur penyampaian bantuan kepada masyarakat.

“Kami telah lama bersedia kerana SOP yang disediakan oleh JKM adalah seiring dengan SOP MyHumanitarian yang telah kami gerakkan sejak PKP Fasa Pertama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, KPWKM menyediakan tujuh SOP untuk dipatuhi NGO yang terbabit dalam penyaluran bantuan kepada kumpulan sasar.

Garis panduan itu adalah bagi melancarkan proses pengurusan sumbangan selain memastikan NGO terbabit mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Antara SOP berkenaan ialah aktiviti NGO itu mesti berorientasikan kebajikan; mereka perlu menghubungi Bilik Gerakan JKM Negeri sehari sebelum aktiviti penyaluran sumbangan dan hanya barangan kering dan sudah dimasak dibenar untuk disalurkan. – MalaysiaGazette