Lembaga Zakat Selangor
Lembaga Zakat Selangor (LZS)
SHAH ALAM  Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan bantuan khas zakat Covid-19 berjumlah RM14 juta yang mula diagihkan sejak 27 Mac lepas kepada 29,000 penerima layak dijangka selesai Jumaat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop berkata, agihan bantuan khas zakat secara berfasa itu dikreditkan terus kepada akaun bank penerima berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 9,000 penerima adalah asnaf fakir, miskin dan mualaf yang menerima bantuan khas RM500 setiap keluarga melibatkan jumlah keseluruhan agihan zakat sebanyak RM4.5 juta.

“Manakala 20,000 penerima lagi merupakan golongan berpendapatan rendah (B40) khususnya penjaja atau peniaga kecil serta keluarga B40 yang terjejas sumber pendapatan. Kumpulan ini menerima bantuan khas maksimum RM500, melibatkan peruntukan zakat asnaf fisabilillah sebanyak RM9.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada masa sama katanya, LZS turut mengagihkan bantuan khas zakat Covid-19 berjumlah RM1 juta kepada hospital kerajaan dan pusat kesihatan daerah (PKD), petugas barisan hadapan yang menangani wabak COVID-19 selain pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini.

Saipolyazan berkata bantuan itu melibatkan pembelian peralatan perlindungan diri (PPE) kepada hospital dan PKD serta makanan kepada para petugasnya manakala bagi pelajar IPT, bekalan makanan disalurkan melalui bahagian hal ehwal pelajar atau pengurusan institusi masing-masing.

Dalam pada itu katanya, selain agihan khas itu, LZS turut menyalurkan bantuan bulanan kepada asnaf fakir, miskin, mualaf dan gharimin berdaftar untuk pembayaran rumah sewa, rawatan dialisis, perubatan serta menampung kewangan mereka melibatkan peruntukan RM30.5 juta.

Tambah Saipolyazan, seramai 14,909 asnaf fakir dan miskin sedia ada turut dipastikan kelangsungan makanan bulanan sepanjangan penularan wabak Covid-19 bagi mengelakkan mereka terputus bekalan.

Justeru, beliau menyeru umat Islam untuk terus melunaskan pembayaran zakat kepada LZS bagi membantu golongan yang terjejas terutamanya asnaf fakir dan miskin yang amat bergantung kepada bantuan disalurkan institusi tersebut khususnya ketika penularan wabak COVID-19.

Pembayaran zakat kepada LZS boleh dilakukan menerusi laman web https://fpx.zakatselangor.com.my atau secara perbankan Internet. – MalaysiaGazette