Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Cubaan mengimport lima unit kontena mengandungi bateri asid plumbum terpakai di Pelabuhan Klang yang merupakan bahan buangan berbahaya berjaya ditumpaskan semalam oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Kementerian Alam Sekitar dan Air berkata, selain daripada penghantaran kesemua kontena dari Australia itu tidak mendapat kelulusan daripada JAS sebagai Pihak Berkuasa Konvensyen Basel Malaysia, maklumat alamat yang diberikan juga palsu.

“Kejayaan operasi menangani cubaan membawa masuk buangan berbahaya ini secara haram adalah hasil kerjasama dua hala antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia bagi membanteras buangan berbahaya merentasi sempadan. Kementerian merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Australia atas maklumat yang telah disalurkan oleh pihak Kedutaan Besar Australia di Malaysia,” kata kementerian itu menerusi kenyataan.

Terkini JAS telah mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31(1) dan Seksyen 37(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada syarikat perkapalan untuk menghantar pulang semula semua kontena tersebut ke Australia.

Operasi menahan kelima-lima kontena tersebut dilakukan bersama pihak Kastam DiRaja Malaysia (KDRM), Lembaga Pelabuhan Klang dan Westport Sdn Bhd.

Bateri asid plumbum terpakai diklasifikasikan sebagai buangan berbahaya di bawah Konvensyen Basel dan dikategorikan sebagai Buangan Terjadual Buangan Bateri Asid Plumbum, kod SW 102, di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.-MalaysiaGazette