Pasukan UPM yang terlibat dalam usaha penghasilan lima robot untuk membantu barisan hadapan negara melaksanakan proses Nyakuman membasmi pandemik itu.-Foto Credit:UPM

KUALA LUMPUR – Sekumpulan pakar robotik dari Makmal Robotik, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) kini dalam proses membangunkan lima buah robot untuk membantu barisan hadapan melakukan proses nyahkuman Covid-19.

Projek menghasilkan kelima-lima robot berkenaan dijangka siap pada minggu depan.

Ketua projek berkenaan, Prof. Madya. Ts. Dr. Wan Zuha Wan Hasan dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Fakulti Kejuruteraan UPM berkata, dalam keadaan pandemik Covid-19 yang dijangka meningkat, robot itu amat diperlukan untuk kegunaan pelbagai unit bagi mengelak jangkitan kepada petugas barisan hadapan.

“Untuk operasi fasa pertama, lima buah robot yang siap ini akan digunakan di kawasan kampus UPM seperti bilik dan dewan kuliah, dewan UPM, kolej penginapan, pejabat-pejabat di UPM, Hospital Pengajaran UPM dan kawasan berisiko yang menjadi tumpuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wan Zuha, untuk fasa kedua pula pihaknya juga boleh menawarkan perkhidmatan nyahkuman, penyediaan makanan dan thermal imager oleh robot UPM kepada hospital-hospital awam sekiranya terdapat permintaan dan dana daripada pihak luar yang berminat.

Bagaimanapun pihak beliau menghadapi kekangan bajet kewangan untuk projek pembangunan robot itu ketika ini.

“Sekiranya ada pihak luar yang berminat untuk bantu kami menaik taraf projek penyelidikan robot ini ke peringkat yang komprehensif, saya amat mengalu-alukan,” ujarnya.

Team-Robot-UPM-merangkul-naib-juara-dalam-kategori-Cooperative-Robot-Challenge-. Foto Kredit: UPM

Jelas beliau lagi, kumpulannya dibantu oleh Profesor Madya Dr. Suhaidi Shafie, Prof. Madya Dr. Norhafiz Azis, Dr. Mohd Nazim Mohtar, Muhammad Farhan Mustafa, Muhammad Hazman Shahul Hameed, Alireza Ahmadi dan Hassan Messar Qassim Alaswad.

“Kami mendapat bekalan dan perkhidmatan pembinaan robot hasil kolaborasi dengan Ketua Innovatech Solution Enterprise, Mohd Hasimi Mohd Sidek yang merupakan sebuah syarikat alumni UPM,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof. Ir. Ts. Dr. Nor Kamariah Nordin, robot tersebut diubahsuai daripada robot sedia ada yang telah digunakan dalam satu pertandingan robot antara universiti (UROCK2019) yang telah berlangsung pada 21-22 September 2019 di UNIMAP, Perlis.

Pasukan Robot UPM telah berjaya merangkul naib juara dalam kategori Cooperative Robot Challenge (CRC).

Justeru katanya, pengubahsuaian berkenaan melibatkan penambahan sistem nyahkumah yang perlu dipasang kepada robot tersebut.

“Dalam keadaan PKP, saya difahamkan kumpulan tersebut sukar memperoleh peralatan membina robot. Bagaimanapun, mereka akan cuba mereka bentuk sistem nyahkuman dengan peralatan sedia ada di makmal dan pembelian peralatan penting dari Lazada atau Shoope,” tegasnya.- MalaysiaGazette