Nasib pelaut negara ini perlu diambilkira kerana ada dalam kalangan mereka sudah duduk di kapal berbulan-bulan lamanya.-Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Larangan kepada semua pelaut  untuk membuat pertukaran anak kapal (sign-on/off) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu ditarik balik dan kini mereka dibenarkan berbuat demikian tertakluk kepada syarat dan kesesuaian.

Berita melegakan kumpulan pelaut itu dimaklumkan kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Wakil kumpulan itu dalam pesanannya di Facebook memberitahu, kebenaran pertukaran anak kapal itu terkandung di dalam Covid-19: Garis Panduan Langkah Berjaga-Jaga yang dikeluarkan hari ini.

Menerusi garis panduan tu, semua nakhoda kapal bendera Malaysia haruslah bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkenaan mengikut kesesuaian untuk memastikan pelaut dibenarkan melakukan pertukaran anak kapal.

Selain itu:

  • Penumpang boleh mendarat dan menaiki kapal
  • Cuti pelabuhan (shore leave) boleh diteruskan jika selamat berbuat demikian
  • Operasi kargo boleh dilakukan
  • Kapal boleh memasuki dan meninggalkan limbungan untuk pembaikan dan pemeriksaan
  • Makanandan sebarang bekalan boleh dmuatkan; dan
  • Sijil dan dokumentasi khas yang perlu dikeluarkan

Garis panduan itu juga menyebut pelaut yang dibenarkan turun di mana-mana pelabuhan atau tiba di negara ini melalui mana-mana pintu masuk disyaratkan supaya menjalani kuarantin selama 14 hari.

Sebanyak 21 perkara ditetapkan dalam garis panduan tersebut termasuk langkah berjaga-jaga dan keselamatan yang perlu dipatuhi jika ada mana-mana pelaut yang mempunyai simptom Covid-19.

MalaysiaGazette pada 25 Mac lalu melaporkan kegelisahan Komuniti Perkapalan Malaysia yang meminta kerajaan mengambil kira nasib serta kebajikan pelaut negara ini yang kini ‘terperangkap’ di kapal berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel berkaitan: Kerajaan diminta prihatin nasib pelaut Malaysia ‘terperangkap’ dalam kapal

Moderator Komuniti Perkapalan Malaysia, Ahmad Badri Alwi berkata, nasib pelaut negara ini perlu diambilkira kerana ada dalam kalangan mereka sudah duduk di kapal berbulan-bulan lamanya.

“Mereka telah berkhidmat berminggu-minggu, malah berbulan-bulan lamanya dan kini terperangkap di atas kapal akibat sekatan bagi pertukaran anak kapal di seluruh pelabuhan di Malaysia dan di banyak lagi pelabuhan lain di seluruh dunia.

Oleh yang demikian, Komuniti Perkapalan Malaysia, katanya, menyeru pihak yang berwajib agar melihat kembali kepada isu itu dan membuat keputusan yang sewajarnya. Perlu ada tindakan bagi jangka masa pendek, dan tindakan jangka masa panjang sekiranya PKP dan sekatan perjalanan dilanjutkan.

Selain itu, menurut Ahmad Badri, majoriti pelaut tidak mendapat gaji bulanan sebaliknya hanya menerima gaji apabila masih lagi dalam kontrak pekerjaan di kapal. – MalaysiaGazette