Nasib pelaut negara ini perlu diambilkira kerana ada dalam kalangan mereka sudah duduk di kapal berbulan-bulan lamanya.-Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Komuniti Perkapalan Malaysia meminta kerajaan mengambil kira nasib serta kebajikan pelaut negara ini yang kini ‘terperangkap’ di kapal berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Moderator Komuniti Perkapalan Malaysia, Ahmad Badri Alwi berkata, nasib pelaut negara ini perlu diambilkira kerana ada dalam kalangan mereka sudah duduk di kapal berbulan-bulan lamanya.

“Sebagai salah satu komponen essential service, pelaut memastikan perkhidmatan pengangkutan laut terus berfungsi untuk menyokong rangkaian bekalan bagi memastikan barangan makanan, bahan api, ubat-ubatan dan pelbagai lagi barangan keperluan yang perlu diimport dari luar negara dapat tiba dengan selamat ke tanahair.

“Mereka telah berkhidmat berminggu-minggu, malah berbulan-bulan lamanya dan kini terperangkap di atas kapal akibat sekatan bagi pertukaran anak kapal di seluruh pelabuhan di Malaysia dan di banyak lagi pelabuhan lain di seluruh dunia.

“Sekatan perjalanan darat dan udara pula menyebabkan anak kapal pengganti tidak dapat menaiki kapal. Di Malaysia, pergerakan pekerja pelantar minyak tidak terganggu tetapi pertukaran anak kapal offshore support vessel yang beroperasi di tempat yang sama disekat hanya kerana perbezaan keperluan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Oleh yang demikian, Komuniti Perkapalan Malaysia, katanya, menyeru pihak yang berwajib agar melihat kembali kepada isu itu dan membuat keputusan yang sewajarnya. Perlu ada tindakan bagi jangka masa pendek, dan tindakan jangka masa panjang sekiranya PKP dan sekatan perjalanan dilanjutkan.

Selain itu, menurut Ahmad Badri, majoriti pelaut tidak mendapat gaji bulanan sebaliknya hanya menerima gaji apabila masih lagi dalam kontrak pekerjaan di kapal.

Apabila cukup tempoh, mereka akan bercuti untuk suatu tempoh yang agak panjang kerana sudah bertugas berbulan-bulan lamanya di kapal selain perlu menunggu tempat mereka dikosongkan di kapal untuk tujuan penggiliran kontrak.

“Oleh yang demikian, ada pelaut yang sudah bercuti di darat sejak Disember 2019, dan dijadualkan bekerja semula pada Mac ini. Namun, akibat PKP, mereka tidak dapat memulakan kerja.

“Pekerja di darat yang diberhentikan kerja serta cukup syarat yang lain boleh memohon bantuan daripada PERKESO. Pelaut yang telah tamat kontrak adalah tidak layak untuk berbuat demikian,” katanya.

Oleh itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia khususnya wajar memberi bantuan yang sewajarnya kepada pelaut.

Peruntukkan boleh diperoleh daripada Kumpulan Wang Pusat Pengangkutan Laut yang mana kumpulan wang berkenaan sememangnya berfungsi untuk membantu pelaut dalam pelbagai keadaan, katanya. – MalaysiaGazette