KUALA LUMPUR – Pelajar Malaysia di luar negara yang sudah tamat pengajian tetapi tidak boleh pulang berikutan penularan wabak Covid-19 tidak perlu bimbang kerana sewa penginapan, kos makan dan minum mereka di sana akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penaja.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan telah berbincang dengan penaja utama pelajar Malaysia di luar negara iaitu Mara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Petronas.
Kata beliau, kerajaan telah setuju melalui penaja berkenaan untuk menanggung kos penginapan, makan dan minum pelajar yang masih di luar negara selepas tamat pengajian.
“Ramai ibu bapa mengadu anak mereka yang belajar di luar negara dan telah tamat pengajian sepatutnya sudah pulang, tapi tidak boleh pulang kerana sekatan dari negara berkaitan yang tidak membenarkan penerbangan keluar dan sebagainya..
“Untuk itu, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kos sewa rumah, beli makanan dan sebagainya akan dibantu oleh kerajaan melalui pihak penaja,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.
Beliau turut menasihatkan pelajar Malaysia agar terus berada di negara itu dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan berkenaan dalam tempoh penularan wabak Covid-19 ini.
Mengenai proses kuarantin rakyat dari luar negara, Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan bersetuju rakyat dari Sabah dan Sarawak tidak akan dikuarantin di negara ini, sebaliknya akan melalui proses itu sebaik tiba di lapangan terbang di negeri masing-masing.
Katanya, bagi penumpang ke Sabah dan Sarawak yang hanya transit di KLIA, mereka tidak perlu masuk ke pusat kuarantin yang disediakan di Kuala Lumpur atau sekitarnya sementara menunggu penerbangan ke negeri masing-masing.
“Selepas sampai di Sabah atau Sarawak, mereka akan dikuarantin. Saya difahamkan, polisi kerajaan negeri itu, mana-mana rakyat mereka yang pulang termasuk dari Semenanjung pun akan dikuarantinkan.
“Sebab itu kita benarkan mereka pulang kerana mereka akan dikuarantin di negeri itu,” katanya.
Kata beliau, rakyat boleh melayari laman sesawang kerajaan untuk mengetahui lokasi dan nama pusat kuarantin yang dibuka sepanjang tempoh PKP.
Mengenai ada pihak tertentu cuba membantu membawa pulang rakyat atau pelajar Malaysia dari Mesir, beliau berkata, kerajaan mengalu-alukan tindakan itu, tetapi mereka perlu melaporkan kepada kerajaan atau MKN.
“Kita alu-alukan siapa saja nak bantu bawa pulang rakyat kita, tapi perlu dapatkan kerjasama dari kerajaan. Maklumkan kepada MKN dan Imigresen.
“Mereka mesti mengikut prosedur kerajaan, kita tidak mahu apabila mereka tiba di KLIA, ada masalah dengan Imigresen dan sebagainya. Untuk itu, perlu hubungi MKN dahulu, dapatkan pandangan dan nasihat mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

















Hati2 menaja, takut2 nanti mereka yang telah diberi pelbagai bantuan dan kemudahan ini akan menjadi penentang kuat MARA, JPA dsb…
Ramai juga yang telah berfikiran liberal?