Pemilik Burgerboy, Mohd Kosim Ismail (tengah) menyerahkan sumbangan makanan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Gazette, Noraini Abd Razak (dua kanan) di Ibu Pejabat Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang anak muda mengambil kesempatan menjadikan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini sebagai peluang untuk bersedekah.

Mohd Kosim Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Adam, 29, berkata, dia terpanggil untuk menyumbang makanan kepada petugas-petugas barisan hadapan sebagai tanda simpati terhadap pengorbanan yang dicurahkan oleh mereka dalam usaha membendung wabak Covid-19.

Adam berkata, usaha tersebut dilakukan setelah mendapat banyak tajaan daripada rakan-rakan laman sosialnya serta orang perseorangan yang mencadangkan supaya dia menghulur sumbangan burger yang menjadi perniagaannya.

“Sekadar burger saja, koay teow ambil daripada sponsor untuk bagi kepada barisan hadapan.

Sponsor dari netizen dan kenalan untuk dihantar ke hospital, polis yang bertugas di road block (sekatan jalan raya) di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya yang merupakan pemilik jenama Burgerboy kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Terdahulu, Adam menyampaikan sumbangan burger dan koay teow goreng kepada petugas di ibu pejabat MalaysiaGazette di Lake Fields.

Mohd Kosim Ismail

Adam berkata, beliau menyediakan semua makanan tersebut di rumah bersama seorang pembantunya mengikut giliran di lokasi-lokasi ia akan diedarkan.

Tidak seperti kebiasaan, Adam selalu memasak burger di atas lori memandangkan dia seorang peniaga food truck di Jalan PJU 5/3 , Kota Damansara.

Dalam pada masa sama, Adam berpesan supaya orang ramai patuh dengan arahan PKP untuk tidak keluar rumah agar usaha menyekatkan penularan wabak Covid-19 ini dapat dilakukan dengan jayanya.

Ujarnya, keletihan yang dialami oleh petugas barisan hadapan disaksikannya sendiri ketika menghantar makanan kepada mereka.

Anak muda ini berkata, kepenatan kakitangan-kakitangan barisan hadapan itu sukar digambarkan.

“Satu pengorbanan besar daripada mereka. Saya mengharapkan orang ramai tidak ingkar. Duduk diam-diam sahaja di rumah,” ujarnya. – MalaysiaGazette